REEZAL fahami keperitan penggiat sukan dan pemain industri. FOTO Bernama
REEZAL fahami keperitan penggiat sukan dan pemain industri. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan bahawa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memutuskan untuk menggantung sementara sektor serta aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut KBS melalui satu kenyataan penggantungan sementara termasuklah di premis atau fasiliti komersial, kemudahan awam dan kawasan terbuka akan bermula esok (7 Mei).

"KBS membawa beberapa cadangan untuk dibincang dan dipertimbangkan di peringkat Mesyuarat Jawatankusa Teknikal MKN dan Sidang Khas berkenaan. Pertimbangan dan keputusan yang dibuat di peringkat Sidang Khas berdasarkan kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga selepas mengambil kira cabaran serta perkembangan semasa demi kepentingan kesihatan awam selaras dengan hasrat membendung penularan wabak Covid-19 terutamanya di dalam komuniti," jelas KBS.

Antara butiran lanjut mengenai penggantungan sementara itu membabitkan semua aktiviti sukan dan rekreasi adalah tidak dibenarkan kecuali pengoperasian fasiliti/ premis sukan dan rekreasi hanya terhad bagi urusan pengurusan dan penyelenggaraan sahaja.

"Program latihan berpusat secara kuarantin yang dilaksanakan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis-Majlis Sukan Negeri (MSN Negeri) menggunakan konsep 'Camp Based Training' dibenarkan seperti biasa.

"Program latihan berpusat secara kuarantin bagi pasukan-pasukan dalam Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menggunakan model gelembung sukan ('Home/Camp Based Training') boleh berjalan seperti biasa.

"Manakala penganjuran kejohanan/ pertandingan/ perlawanan persahabatan mengikut model gelembung sukan adalah terhad bagi penganjuran MFL sahaja tanpa kehadiran penonton dan penyertaan pemain/ peserta/ pegawai/ teknikal Malaysia ke kejohanan/ pertandingan di luar negara boleh dilakukan dengan sokongan KBS dan kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)," jelas KBS.

Semua aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan PKP dilarang sama sekali kecuali yang mendapat kebenaran khas KBS. Kehadiran penonton, penyokong ke stadium atau venue sukan dan rekreasi juga dilarang, manakala penyertaan pemain/ peserta/ pegawai/ teknikal Malaysia ke kejohanan/ pertandingan di luar negara perlu mempunyai sokongan KBS dan kebenaran JIM.

"KBS yakin keputusan ini bersifat sementara dan sentiasa menyokong usaha yang dijalankan KKM demi membendung penularan Covid-19 seterusnya melandaikan keluk jangkitan. "Penilaian risiko oleh pihak berkuasa seperti KKM akan dibuat dari semasa ke semasa dan kebenaran bagi sektor/aktiviti sukan dan rekreasi untuk dibenarkan beroperasi semula adalah menjadi komitmen utama KBS," katanya.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sentiasa memahami keresahan dan keperitan pihak penggiat sukan dan pemain industri khususnya operator fasiliti sukan dan rekreasi komersial yang terpaksa ditutup dengan keputusan terkini ini di kawasan PKP.

"Keputusan ini bersifat sementara untuk sama-sama membantu kerajaan dalam usaha mengurangkan dan membendung penularan pandemik Covid-19 di dalam komuniti dan negara kita secara amnya," kata beliau.

Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Sukan dan Rekreasi bagi kawasan PKP yang dikemas kini akan dimuat naik di portal MKN dan KBS dalam masa terdekat.

Untuk maklumat lanjut dan terkini mengenai SOP Sektor Sukan dan Rekreasi, sila layari laman web KBS melalui pautan http://www.kbs.gov.my/sopsukanrekreasi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 5:56 PM