KETUA jurulatih kebangsaan, John Beasley. FOTO Zunnur Al Shafiq
KETUA jurulatih kebangsaan, John Beasley. FOTO Zunnur Al Shafiq
Haika Khazi


KETUA jurulatih kebangsaan, John Beasley, bangga dengan skuad basikal trek negara yang meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018, minggu lalu.

Beasley menganggap kejayaan pasukan trio berbasikal trek negara - dianggotai Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Mohd Zonis – amat istimewa kerana berjaya meraih perak dalam acara berkelas dunia seperti di Sukan Asia 2018. 

Beliau berkata kejayaan itu hasil kerja keras dan kesungguhan ditunjukkan mereka yang sentiasa berusaha bagi meningkatkan pretasi dari semasa ke semasa. 

"Saya memang bangga dengan kejayaan skuad berbasikal negara mencapai sasaran menang emas buat pertama kali untuk Malaysia dalam acara pecut individu lelaki di Sukan Asia seperti kami sasarkan.

"Saya juga sedar tugas (meraih emas) bukan mudah kerana kita masih baharu dalam acara pecut," katanya kepada wartawan sukan NSTP di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Beasley juga memuji sikap profesional dan contoh ditunjukkan Azizulhasni yang sanggup bekerja keras dan memberi tunjuk ajar kepada pelumba basikal muda negara demi memastikan nama Malaysia mekar di Sukan Asia.

"Saya juga gembira dengan perkembangan dan peningkatan prestasi luar biasa ditunjukkan Shah Firdaus dan yakin dia akan menjadi lebih baik berkat sokongan padu dan doa seluruh rakyat Malaysia.

"Shah Firdaus terlepas peluang menang pingat acara pecut individu, cuma kerana beliau kurang pengalaman dan masih muda serta melakukan kesilapan tidak sepatutnya," katanya.

Berikutan itu, Beasley berharap Shah Firdaus dapat belajar sesuatu daripada kegagalannya untuk memperbaiki prestasi dan seterusnya melakar kejayaan di Sukan Asia dan Sukan Komanwel akan datang.

"Kita juga berharap dia berusaha keras bagi meningkatkan pretasi dan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 2:31 PM