AZIZUL (kiri) dan Shah membentuk pasukan trio pecut negara bersama Fadhil. — FOTO Iqmal Haqim Rosman
AZIZUL (kiri) dan Shah membentuk pasukan trio pecut negara bersama Fadhil. — FOTO Iqmal Haqim Rosman
Azlan Muhammad Zain


KETUA jurulatih negara, John Beasley sedia merencanakan perancangan terbaik dalam usaha membuka peluang buat trio pecut berpasukan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia kini berada di kedudukan ke-14 ranking kelayakan Olimpik namun peluang untuk mengubahnya akan bermula pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Korea Selatan, Oktober depan.

“Kejohanan peringkat benua itu menawarkan mata yang tinggi, jadi peluang lebih mudah untuk membaiki kedudukan jika kami mampu memenanginya,” jelas pengendali dari Australia itu.

Hanya lapan pasukan terbaik akan meraih tiket automatik ke Tokyo dengan pungutan mata ke Negara Matahari Terbit itu akan berakhir pada Kejohanan Trek Dunia di Berlin, Februari depan.

“Bagaimanapun berdasarkan ranking semasa, Malaysia dalam landasan tepat untuk meraih tiket ke Olimpik menerusi acara keirin dan pecut individu,” katanya.

Beasley menjelaskan tumpuan ketika ini adalah bagi memastikan trio itu — Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Zonis — mencapai sasaran jisim otot yang diharapkan bagi membolehkan mereka berada dalam keadaan terbaik bersaing dengan pencabar lain.

“Mereka perlu meningkatkan antara 3 hingga 4kg jisim otot dalam tempoh beberapa bulan ini sebelum kembali bersaing pada pertengahan tahun ini,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 8:33 PM