PANDELELA raih emas dalam acara 10 meter (m) platform individu di Piala Dunia Fina di Tokyo. FOTO EPA
PANDELELA raih emas dalam acara 10 meter (m) platform individu di Piala Dunia Fina di Tokyo. FOTO EPA
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kolam tertutup antara faktor penerjun negara, Pandelela Rinong berjaya memberikan terjunan bertenaga seterusnya meraih emas di Piala Dunia Fina di Tokyo, Jepun kelmarin, dalam acara 10 meter (m) platform individu.

"Saya suka kolam tertutup seperti ini. Saya harap satu hari nanti Malaysia juga mempunyai gelanggang seperti ini," katanya yang meraih emas selepas mengetepikan penerjun Jepun, Matsuri Arai (kedua) dan Caeli Mckay (ketiga).

Jelasnya, kolam di Malaysia hanya berbumbung dan setiap kali hujan lebat ia akan menjejaskan latihan mereka. "Kolam tertutup seperti ini sangat selesa, lebih menarik suhunya boleh dikawal," katanya yang juga berjaya menjadi atlet wanita pertama negara meraih pingat di Olimpik selepas merangkul gangsa di London 2012.

Pandelela mengakui sangat gembira dengan aksi konsisten dipamerkan dan ternanti-nanti untuk melakukan yang terbaik menjelang Olimpik Tokyo.

"Terima kasih kerana menyokong pasukan terjun negara. Saya sangat gembira kerana berjaya memberi aksi konsisten di final. "Pada pusingan kelayakan saya melakukan tiga kesilapan dan di separuh akhir sebanyak dua kali, jadi saya rasa lega kerana mampu melakukannya dengan konsisten pada aksi final.

"Sudah tentu saya mahu berada di podium pada Olimpik nanti tapi saya juga mahu melakukan catatan peribadi terbaik dalam kedua-dua acara seirama dan individu," katanya.

Selain gangsa di London 2012, Pandelela juga pernah meraih perak di Olimpik Rio ketika bergandingan bersama Cheong Jun Hoong dan dia juga pernah menduduki tempat kedua di Kejohanan Dunia 2019 di Gwangju dalama cara 10m platform seirama bersama Leong Mun Yee.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam menzahirkan ucapan tahniah kepada Pandelela berikutan kejayaan itu.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Pandelela meraih pingat emas pertama buat skuad negara di kejohanan itu, sekali gus melakar sejarah baharu buat sukan terjun negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Seri Paduka Baginda menyifatkan pencapaian Pandelela ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat untuk meneruskan buruan pingat di Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini ," menurut kenyataan dimuat naik di Instagram Istana Negara, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 6:45 AM