PANDELELA bersama Chen Yuxi (tengah) dan Quan Hongchan.
PANDELELA bersama Chen Yuxi (tengah) dan Quan Hongchan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong Pamg membuktikan dia masih lagi berbisa apabila memenangi gangsa acara 10m platform wanita di Kejohanan Dunia FINA di Budapest, Hungary, awal pagi tadi.

Pandelela berkata, walaupun sudah berusia 29 tahun namun dia tetap mampu memberikan saingan kepada peserta yang lebih muda sekali gus memenangi pingat untuk negara. Katanya, tempoh berehat panjang berikutan Covid-19 dan kekurangan penyertaan di peringkat antarabangsa tidak menghalangnya untuk mengekalkan prestasi dalam usaha meraih keputusan positif pada pertandingan terbabit.

"Saya boleh katakan ia seumpama melunaskan dendam terhadap kegagalan di pertandingan sebelum ini. Apa yang boleh saya katakan, setiap kejayaan dan kegagalan dikecapi memberi motivasi kepada diri untuk lebih berjaya.

"Malah, kejayaan yang diraih ini membuktikan bahawa saya masih lagi mampu untuk bersaing dalam acara berkenaan,"katanya.

Turun sebagai penerjun paling senior dalam acara berkenaan, Pandelela mengutip 338.85 mata keseluruhan, ketinggalan 78.4 di belakang Chen Yuxi dari China yang memenangi emas. Seorang lagi peserta China, Quan Hongchan, 15, yang mengatasi Yuxi untuk emas Olimpik Tokyo, di tempat kedua dengan 416.95 mata iaitu hanya 0.4 di belakang rakan senegaranya itu.

Selepas ini Pandelela akan bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri dalam acara 10m platform seirama wanita. Pada edisi 2019, Pandelela menduduki tempat kelima dalam acara 10m platform, namun membawa pulang perak dalam acara 10m platform seirama wanita bersama gandingannya Datuk Leong Mun Yee.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 1:11 PM