PANDELELA (kiri) dan Mun Yee jadi tumpuan esok dalam acara 10m platform seirama. FOTO EPA
PANDELELA (kiri) dan Mun Yee jadi tumpuan esok dalam acara 10m platform seirama. FOTO EPA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Mungkin ada perkhabaran gembira dihadiahkan kepada rakyat negara apabila penerjun negara Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee turun beraksi dalam acara 10 meter (m) seirama esok.

Mereka akan turun di Pusat Akuatik Tokyo pada jam 2 petang waktu Malaysia dengan cabaran dilihat hadir menerusi penerjun China, Zhang Jiaqi yang akan bergandingan bersama Chen Yuxi.

Berdasarkan status semasa pasangan negara itu dilihat berada di landasan terbaik untuk meraih sekurang-kurangnya sebutir pingat.

Kejayaan Pandelela yang meraih emas ketika di Piala Dunia April lalu memberi gambaran terhadap peluang negara.

Malah penerjun berpengalaman, Mun Yee juga mahu memastikan penampilan terakhirnya di pentas terbesar itu membuahkan hasil yang membanggakan.

"Saya memang letakkan sasaran untuk meraih pingat dan berusaha ke arah itu bersama Pandelela.

"Apa yang penting ketika ini adalah fokus dan konsisten. Saya akan lakukan yang terbaik dengan prestasi terkini pun sudah semakin meningkat dan kini berada pada tahap optimum," katanya.

Sepanjang karier Mun Yee berjaya meraih satu perak dan dua gangsa di Kejohanan Dunia, satu perak dan dua gangsa di temasya Komanwel, dua perak dan lima gangsa di Sukan Asia selain berjaya meraih 17 emas di temasya dwitahunan, Sukan Sea.

Manakala Pandelela, meraih gangsa di Olimpik London, perak di Olimpik Rio, emas di Piala Dunia Tokyo, satu perak dan empat gangsa di Kejohanan Dunia, dua emas dua perak di temasya Komanwel dan satu perak dua gangsa di Sukan Asia.

Kali terakhir gandingan negara itu meraih pingat adalah ketika menyertai Kejohanan Dunia di Korea Selatan pada 2019 apabila membawa pulang perak. Mereka tewas kepada pasangan China, Zhang Jiaqi yang ketika itu bergandingan bersama Lu Wei.

China meraih 345.24 manakala Pandelela-Mun Yee 312,72 mata manakala tempat ketiga pasangan Amerika Syarikat, Samantha Bromberg-Katrina Young ketiga, 304.86.

Namun kelibat penerjun Kanada juga perlu diberi perhatian dengan Benfeito Meaghan yang meraih gangsa di Olimpik Rio kali ini akan turun bergandingan bersama Mckay Caeli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 8:03 PM