Foto ihsan Facebook Istana Negara
Foto ihsan Facebook Istana Negara
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada penerjun negara, Pandelela Rínong atas kejayaan meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform individu wanita di Piala Dunia Terjun Fina di Jepun, semalam.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Pandelela meraih pingat emas pertama buat skuad negara di kejohanan itu, sekali gus melakar sejarah baharu buat sukan terjun negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Seri Paduka Baginda menyifatkan pencapaian Pandelela ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada untuk meneruskan buruan pingat di Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini ," menurut kenyataan dimuat naik di Instagram Istana Negara, hari ini.

Seri Paduka Baginda bertitah pencapaian cemerlang penerjun kebangsaan kelahiran Sarawak itu sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu berkualiti, berkaliber serta bertaraf antarabangsa.

"la juga membuktikandengan iltizam, semangat perjuangan tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia, menurut kenyataan itu.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat Pandelela turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet di negara ini untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam perjuangan bidang masing-masing sama ada di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

"Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Pandelela dan mendoakan semoga dia dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama negara di Tokyo, Julai ini," jelas kenyataan itu.

Pandelela, 28, mempamerkan terjunan bertenaga dan meyakinkan untuk mengungguli final yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun dengan mengumpul 355.70 mata selepas melengkapkan tujuh terjunan dan mengatasi penerjun tuan rumah, Matsuri Arai (342.00 mata) dan Caeli McKay dari Kanada (338.55 mata) masing-masing di tempat kedua serta ketiga. Kejayaan meraih pingat emas itu menjadikan Pandelela satu-satunya atlet yang menyumbang pingat buat pasukan terjun negara yang menggalas cabaran ke Piala Dunia kali ini.

Pandelela, Leong Mun Yee, Wendy Ng, Nur Dhabitah Sabri dan Cheong Jun Hoong bakal menggalas cabaran negara dalam acara terjun di temasya Olimpik yang dijadualkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

Ketika Sukan Olimpik London 2012, Pandelela meraih pingat gangsa dalam acara yang sama, sekali gus menjadi atlet wanita pertama negara meraih emas di temasya berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 4:04 PM