AKSI Ashleigh di pusingan ketiga. FOTO AFP
AKSI Ashleigh di pusingan ketiga. FOTO AFP
AFP

Miami: Pemain nombor satu dunia wanita, Ashleigh Barty menewaskan wakil tuan rumah, Shelby Rogers 7-6 (7/3), 4-6, 6-4 pada pusingan ketiga kejohanan WTA di gelanggang tanah liat di Charleston dekat Selatan Carolina, hari ini.

Ashleigh melangkah ke suku akhir dan akan bertemu pemain Sepanyol, Paula Badosa yang melakar kemenangan 6-3, 6-3 ke atas Caty McNally dari Amerika Syarikat (AS).

"Shelby seorang pemain yang bagus, dia akan membuatkan anda terpaksa bekerja keras untuk setiap mata, setiap perlawanan dan hari ini tidak jauh berbeza," kata Ashleigh.

Sensasi Australia itu tiba di Charleston selepas memenangi Terbuka Miami sekali gus mempertahankan kejuaraan WTA buat kali pertama.

Selepas mendapat bye di pusingan pertama, dia pantas menyesuaikan diri beraksi di gelanggang tanah liat di Charleston.

Ashleigh kemudian hanya memerlukan masa 61 minit untuk mengatasi wakil Jepun, Misaki Doi, 6-2, 6-1.

Sementara itu pemain bukan pilihan, Danka Kovinic dari Montenegro mengatasi pemenang Wimbledon sebanyak dua kali, Petra Kvitova 6-4, 6-1 di pusingan ketiga untuk melangkah ke suku akhir.

"Pukulan balasnya sangat kuat tetapi saya berjaya mengawal permainan dengan baik," kata Danka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 12:25 PM