ASHLEIGH bersama trofi Wimbledon dimenangi tahun ini.
ASHLEIGH bersama trofi Wimbledon dimenangi tahun ini.
AFP

Sydney: Pemain nombor satu dunia Ashleigh Barty mengesahkan tidak menyertai Piala Billie Jean King di Prague bulan depan, menurut Tennis Australia hari ini sekali gus menimbulkan keraguan sama ada dia akan beraksi semula musim ini.

Bintang Australia itu menarik diri daripada kejohanan berpasukan wanita yang sebelum ini dikenali Piala Fed dan dia juga turut tidak dapat dapat beraksi di kejohanan Indian Wells di California bulan ini.

Tennis Australia tidak memberikan sebab ketiadaan Ashleigh dan hanya menamakan pemain nombor 47 dunia, Ajla Tomljanovic akan mengetuai pasukan Australia di Republik Czech.

Keputusan itu mencetuskan tanda tanya mengenai penyertaan Ashleigh, 25, pada baki saingan musim 2021 termasuk mempertahankan gelaran Pusingan Akhir WTA yang dimenangi pada 2019 sebelum edisi tahun lalu dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

Ashleigh mengharungi kempen cemerlang sejak awal tahun ini dengan menjuarai lima gelaran termasuk Wimbledon yang juga Grand Slam keduanya selepas meraih Terbuka Perancis 2019.

Tetapi dia tidak beraksi sejak tewas mengejut kepada pemain Amerika Syarikat (AS) Shelby Rogers di pusingan ketiga Terbuka AS awal September lalu.

Jurulatih Ashleigh, Craig Tyzzer berkata keutamaan pemain itu kini bersiap sedia menghadapi Terbuka Australia yang dijangka pada Januari 2022 selepas tahun ini dibatalkan susulan pandemik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 11:43 AM