Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. FOTO File NSTP
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. FOTO File NSTP
BERNAMA

Petaling Jaya: Suntikan vaksin adalah penting bagi keselamatan skuad Harimau Malaya untuk menyertai saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun ini.

Biarpun ia tidak diwajibkan oleh negara berkenaan, namun ia sebagai langkah bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku dalam usaha anak buah Tan Cheng Hoe mengejar impian beraksi di pentas Piala Asia setelah gagal layak dalam tiga edisi terdahulu sejak penganjur edisi 2007 bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Kali terakhir Malaysia layak ke saingan tertinggi peringkat benua itu di Kuwait pada 1980 menyaksikan skuad negara tersingkir di peringkat kumpulan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata, pihaknya tidak mahu insiden tidak diingini berlaku kepada skuad negara yang dijangka berlepas ke Bahrain pada 19 Mei ini untuk mengharungi dua aksi persahabatan sebelum ke Dubai, UAE bagi menyambung kembali kempen kelayakan tergendala sejak awal tahun lepas akibat pandemik Covid-19.

"Vaksin ini diambil sebagai perlindungan buat pasukan. Kita tidak mahu apabila kita tiba di sana, hilang separuh daripada pasukan. Kalau kita lihat pada saingan ACL (Liga Juara-juara AFC) tahun lepas, beberapa pasukan terpaksa tarik diri kerana ada kluster dalam pasukan.

"Vaksin adalah bagi memastikan keselamatan pemain yang akan merantau dan juga apabila kita sampai ke Dubai nanti kita tidak ada kerisauan kluster dalaman. Ia adalah pilihan dan sangat penting, kalau tidak kita dalam satu situasi yang ada berisiko tinggi," katanya.

Bagaimanapun, Stuart berkata pihaknya masih mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam usaha mendapatkan vaksinasi buat skuad Harimau Malaya.

"Saya yakin Datuk Seri Reezal dan pihak KBS akan buat terbaik untuk kita, kita beri sedikit masa untuk KBS buat kerja dan menteri sendiri memang banyak menyokong perkembangan dan pembangunan senario bola sepak tempatan.

"Ada beberapa pelan gantian, kita tunggu dulu pengumuman menteri. Selepas itu, kita beritahu apa pelan gantian kita (sekiranya tidak mendapat vaksin)," katanya.

Selepas program vaksinasi kumpulan pertama atlet dan pegawai yang terlibat dengan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo semalam, Reezal Merican berkata KBS tidak dapat memberi jaminan buat skuad bola sepak kebangsaan untuk mendapatkan suntikan sebelum berlepas ke Timur Tengah.

Sementara itu, Stuart berkata skuad Harimau Malaya yang dijadual kembali berkumpul pada 16 Mei, akan mengadakan aksi persahabatan menentang dua pasukan dari Timur Tengah, dengan perlawanan berdepan Bahrain sudah disahkan, manakala satu lagi hanya menunggu surat pengesahan.

Beliau berkata kedua-dua pasukan itu dipilih sendiri oleh Cheng Hoe mengikut kesesuaian menjelang aksi menentang UAE pada 3 Jun, diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 4:52 PM