STL memasuki perlawanan kedua yang berlangsung di Iskandar Malaysia Studios, Johor Darul Ta’zim sekali gus terpaksa di tunda berikutan negeri terbabit antara yang dikenakan PKP bermula hari ini. FOTO Ihsan STL
STL memasuki perlawanan kedua yang berlangsung di Iskandar Malaysia Studios, Johor Darul Ta’zim sekali gus terpaksa di tunda berikutan negeri terbabit antara yang dikenakan PKP bermula hari ini. FOTO Ihsan STL
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri jelas sekali mengganggu perjalanan aktiviti sukan dan antara yang menerima kesannya adalah sepak takraw apabila saingan Liga Sepak Takraw (STL) terpaksa ditangguhkan sehingga ke tarikh yang akan diumumkan kelak.

Menerusi kenyataan daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memaklumkan bahawa penangguhan itu demi mematuhi arahan yang sudah diumumkan kerajaan berkaitan pelaksanaan PKP sebelum ini.

Saingan STL kini memasuki perlawanan kedua yang berlangsung di Iskandar Malaysia Studios, Johor Darul Ta'zim sekali gus terpaksa di tunda berikutan negeri terbabit antara yang dikenakan PKP bermula 13 Januari sehingga 26 Januari 2021.

"Demi mematuhi arahan kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin maka STL-Champions Cup 2020 ditangguhkan sehingga tarikh baharu yang akan diberitahu kelak. Jaga diri, kita akan kembali lagi," jelas PSM menerusi laman Facebook rasminya semalam.

Sebelum itu, kejohanan STL yang bermula pada 10 Januari dan berakhir 26 Januari terbahagi kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A yang disertai Kuala Lumpur Thunder, Bomba Fighter, Johor Tigris dan Putrajaya Cyborg.

Kumpulan B pula terdiri daripada ATM Guardians, Kelantan Warriors, Negeri Sembilan Antlers dan Penang Black Panthers.

Ketika ini, pasukan tuan rumah, Johor Tigris dalam keadaan selesa apabila melangkah ke peringkat separuh akhir lebih awal selepas meraih dua kemenangan berturut-turut.

Pasukan itu membenam cabaran juara STL 2020, Kuala Lumpur Thunders 2-1 sebelum menewaskan Putrajaya Cyborg 2-1.

Jadual perlawanan separuh akhir sebelum ini dijangka berlangsung pada 15 Januari manakala aksi final dan penentu tempat ketiga/ke-4 diadakan pada 16 Januari 2021.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 9:25 PM