KETUA jurulatih, Mohd Hirman Omar (dua kanan) memberi arahan kepada pemain sepak takraw Pahang. FOTO Ihsan PSNP
KETUA jurulatih, Mohd Hirman Omar (dua kanan) memberi arahan kepada pemain sepak takraw Pahang. FOTO Ihsan PSNP
Mohd Rafi Mamat


PERSATUAN Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP) akur dengan keputusan dibuat Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak akan menangguhkan tarikh Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) yang dijadualkan bermula 5 Ogos ini.

Bagaimanapun menurut Setiausahanya, Ahmad Fitri Ali kajian semula tarikh kejohanan itu perlu dilakukan sekiranya penularan wabak COVID-19 masih berlarutan dan mengundang bahaya pada penonton serta pemain.

Katanya, sekiranya STL yang kini semakin dikenali diteruskan juga tanpa kehadiran penonton mungkin tiada serinya lagi memandangkan kejohanan berkenaan sentiasa

ditunggu oleh peminat sukan terbabit seluruh negara.

“Saya bagi pihak PSNP berharap PSM sebagai badan induk sukan sepak takraw negara perlu mengadakan perbincangan dengan KBS bagi memuktamadkan keputusan yang dibuat demi kepentingan bersama.

“Keputusan yang dicapai akan memberi kebaikan kepada semua pihak bukan sahaja pada PSM tetapi juga persatuan negeri, pemain seterusnya penonton,” katanya, di sini hari ini.

Semalam Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, setakat ini PSM tidak bercadang untuk menunda tarikh kejohanan berkenaan kerana sudah melakukan perancangan lebih awal.

Bagaimanapun katanya tarikh berkenaan bergantung kepada situasi semasa penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara dan dunia sehingga memaksa Kerajaan Malaysia mengeluarkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac ini.

Ahmad Fitri yang juga pengurus pasukan Pahang musim ini berkata, dia yakin semua pasukan yang bertanding pada STL musim ini tidak sanggup berhadapan risiko Covid-19, kemeriahan kejohanan akan hambar sekiranya semua pihak berada dalam keadaan bimbang dan takut.

Katanya, pasukan Pahang musim ini akan beraksi dalam Divisyen Premier dengan membariskan gandingan pemain muda dan senior dibawah bimbingan jurulatih

Mohd Hirman Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 8:04 PM