GARCIA terpaksa melupakan Masters selepas diuji positif Covid-19. FOTO AFP
GARCIA terpaksa melupakan Masters selepas diuji positif Covid-19. FOTO AFP
AFP

Augusta: Sergio Garcia, juara Masters 2017, terpaksa menarik diri daripada menyertai Masters ke-84 semalam selepas mengumumkan keputusan ujian Covid-19 yang dilakukannya positif.

Garcia, yang hanya meraih sekali kejuaraan utama di Augusta National tiga tahun lalu dengan mengalahkan wakil England, Justin Rose menerusi playoff, diuji positif kelmarin selepas gagal melepasi cut di Terbuka Houston PGA.

"Ketika dalam perjalanan pulang daripada Terbuka Houston malam Sabtu lalu, saya mula berasa sakit tekak dan batuk.

"Gejala itu masih ada sehingga awal pagi Ahad sebelum saya dan isteri, Angela mengambil keputusan untuk menjalani ujian Covid-19. Syukur Angela didapati negatif, namun saya positif," kata Garcia dalam satu ciapan menerusi akaun Twitter miliknya.

Pemain Sepanyol berusia 40 tahun itu berjaya memenangi Kejohanan Sanderson Farms di Jackson, Mississippi, bulan lalu iaitu kejuaraan pertama PGA Amerika Syarikat (AS) selepas merangkul Masters.

"Kami mendoakan Sergio dan keluarganya segera sembuh. Kami akan sangat terasa ketiadaannya," kata Pengerusi Kelab Augusta National, Fred Ridley.

Garcia sebelum ini terlepas cut dua kejuaraan utama pada tahun ini iaitu Terbuka AS dan Kejuaraan PGA manakala Terbuka British dibatalkan akibat pandemik Covid-19

Dia menjadi pemain kedua menarik daripada kejohanan Masters akibat positif Covid-19 selepas pemain Chile, Joaquin Niemann.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 8:58 AM