PEMAIN TNB meraikan kemenangan selepas menewaskan THT 4-2 pada perlawanan akhir Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
PEMAIN TNB meraikan kemenangan selepas menewaskan THT 4-2 pada perlawanan akhir Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakar sejarah gemilang apabila buat kali pertama dalam tempoh 21 tahun penyertaan saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) dia berjaya merangkul gelaran treble.

TNB dinobatkan juara Piala TNB 2024 selepas menewaskan juara bertahan Pasukan Hoki Terengganu (THT) dengan jaringan 4-2 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Mereka sebelum ini turut menjuarai Piala Sumbangsih dan juara MHL 2024.

Jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyifatkan perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu sangat menarik dengan aksi berbalas serangan dipamerkan oleh kedua-dua pasukan.

"Satu perlawanan yang sengit dengan kedua-dua pasukan memberi aksi pantas pada dua suku pertama dan akhir lawan gagal menahan kemaraan TNB.

"Kita mengikut struktur seperti yang dirancang. Memang kita ketinggalan dua kali tetapi ini perkara biasa dalam hoki. Apabila ketinggalan, kita perbetulkan kembali dan pemain dapat melakukannya dengan baik sekali untuk kembali bangkit," katanya.

Perlawanan sengit disajikan oleh kedua-dua pasukan yang tampil di final ketiga mereka apabila saling berbalas serangan bermula suku pertama.

Penyerang prolifik THT, Faizal Saari terlebih dahulu meletakkan pasukan pantai timur itu di hadapan minit keenam menerusi jaringan padang.

Serangan pantas ke kubu lawan membolehkan TNB menyamakan kedudukan menerusi gol padang dari Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi minit ke-19.

Saingan semakin mendebarkan apabila Mohamad Akhimullah Anuar Esook kembali meletakkan juara bertahan itu di depan dua minit kemudian namun pemain import TNB, Jang Jong Hyun berjaya mengikat kedudukan 2-2 seminit kemudian.

Namun kesilapan di depan gawang gol oleh Sukri Mutalib membolehkan Azril Misron meledak gol ketiga buat TNB dan memimpin perlawanan buat kali pertama.

Muhammad Azrai Aizad mencetak nama sebagai penjaring keempat TNB untuk gol 32 peribadi musim ini hasil gol padang minit ke-36 dan diumumkan sebagai penjaring terbanyak liga musim ini.

Kejayaan TNB merangkul gelaran treble itu membolehkan mereka membawa pulang wang tunai keseluruhan berjumlah RM75,000.

Sebelum itu, Maybank menewaskan UiTM HA-KPT untuk mengakhiri saingan di tempat ketiga selepas menamatkan perlawanan yang diheret ke penentuan shoot-out dengan keputusan 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 11:27 PM