Pemain THT, Faizal Saari (kiri) menjaringkan gol tunggal perlawanan pada aksi di Stadium Hoki Nasional.
Pemain THT, Faizal Saari (kiri) menjaringkan gol tunggal perlawanan pada aksi di Stadium Hoki Nasional.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pasukan Hoki Terengganu (THT) berpeluang untuk meraih treble musim ini selepas mara ke perlawanan akhir final Piala TNB.

Selepas menjulang trofi Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL), THT berjaya menewaskan UiTM HA 1-0 pada separuh akhir kedua Piala TNB di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Gol kemenangan THT dalam perlawanan itu diperoleh menerusi penyerang prolifik skuad kebangsaan, Faizal Saari selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-27.

Ia sekali gus membolehkan skuad bimbingan Roslan Jamaluddin itu menempah tiket final Piala TNB dengan keputusan agregat 2-1 selepas seri 1-1 dengan UiTM ketika separuh akhir pertama, Jumaat lalu.

Menanti THT di final Piala TNB pada Khamis ini ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mencatat keputusan agregat 6-3 ke atas Maybank selepas menang 5-1 dalam aksi separuh akhir kedua hari ini.

Pemain Maybank (tengah) dikawal ketat oleh pemain TNB. FOTO Ihsan MHC
Pemain Maybank (tengah) dikawal ketat oleh pemain TNB. FOTO Ihsan MHC

Lima gol TNB dijaringkan dua oleh Azrai Aizad Abu Kamal dan masing-masing satu daripada Azril Misron, Muhammad Shahril Saabah dan Norsyafiq Sumantri.

Maybank pula terpaksa akur gagal ke final selepas cuma memperoleh jaringan saguhati menerusi Muhammad Haziq Samsul walaupun sebelum ini menang 2-1 pada separuh akhir pertama.

Ia bermakna Maybank hanya akan bersaing bagi penentuan tempat ketiga Piala TNB menentang UiTM HA pada Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 9:05 PM