AKSI pemain negara ketika menentang Perancis. FOTO MHC
AKSI pemain negara ketika menentang Perancis. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara tewas 2-3 kepada Perancis pada siri perlawanan persahabatan ketiga Jelajah Belgium, hari ini.

Berlangsung di Waterloo Ducks Hockey Club ASBL, skuad bimbingan Arul Selvaraj ketinggalan tiga gol selepas babak pertama sebelum cuba bangkit di suku ketiga dan keempat.

Bagaimanapun, jaringan padang Najib Abu Hassan minit ke-52 dan pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim tiga minit kemudian sudah terlambat untuk menyekat kemenangan Perancis.

Ia kekalahan kedua Malaysian Tigers selepas tewas 0-7 kepada skuad utama Belgium pada perlawanan persahabatan kedua, minggu lalu.

Sebelum itu, skuad negara meraih kemenangan 1-0 ke atas pasukan Belgium A yang terdiri daripada pemain bawah 23 tahun sambil diperkuatkan dengan beberapa pemain senior.

Skuad negara akan menamatkan kempen siri Jelajah Belgium dengan turun bertemu Perancis sekali lagi esok.

Empat perlawanan yang diatur pada jelajah kali ini sebagai persiapan skuad negara untuk menghadapi Piala Sultan Azlan Shah 2022 yang akan bermula dari 1 hingga 10 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 9:01 PM