PEMAIN negara mendengar arahan ketika sesi rehat. FOTO MHC
PEMAIN negara mendengar arahan ketika sesi rehat. FOTO MHC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hasrat pengendali skuad hoki lelaki negara, A Arulselvaraj untuk menumpaskan Perancis di siri perlawanan persahabatan Jelajah Belgium akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka menang 4-2 sebentar tadi.

Bagaimanapun, Perancis yang menduduki ranking ke-11 dunia satu tangga di bawah Malaysia dan menang pertemuan pertama semalam 2-3, dua kali mendahului perlawanan dan membuka jaringan seawal minit keenam menerusi pukulan sudut penalti.

Kedudukan terikat 1-1 apabila pakar pukulan sudut penalti negara Muhammad Razie Abd Rahim berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-17.

Perancis sekali lagi di depan apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti empat minit kemudian sebelum Muhammad Aminuddin Mohd Zain menghadiahkan gol penyamaan buat Malaysia pada minit ke-28.

Malaysia buat kali pertama berada di depan melalui gol padang Muhamad Ramadan Rosli pada minit ke-45 sebelum Razie mengesahkan kemenangan negara apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti di minit ke-54.

Aksi berkenaan mengakhiri siri perlawanan persahabatan Jelajah Belgium yang membabitkan empat perlawanan.

Sebelum ini anak buah Arulselvaraj menang 1-0 pada aksi sulung menentang Belgium A, sebelum dibelasah skuad utama negara berkenaan 0-7 dan semalam kalah tipis 2-3 Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 7:55 PM