Penyokong mungkin dibenarkan menyaksikan Kejohanan Hoki TNB Liga Remaja Malaysia.
Penyokong mungkin dibenarkan menyaksikan Kejohanan Hoki TNB Liga Remaja Malaysia.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kejohanan Hoki TNB Liga Remaja Malaysia 2021 bakal dihangatkan lagi dengan kehadiran penyokong apabila mereka akan dibenarkan memasuki venue untuk menyaksikan saingan terbabit kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, pihaknya dalam usaha merangka Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan penyokong dapat memasuki venue pertandingan sebaik saingan terbabit bermula.

Beliau berkata, SOP itu akan mengikuti garis panduan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sama seperti sukan-sukan lain antaranya bola sepak, jika kami mendapat kebenaran dari MKN dan KKM penyokong akan dibenarkan masuk menyaksikan kejohanan ini.

"KHM akan pastikan semua peraturan ditetapkan dipatuhi dari segi jarak dan kapasiti serta penonton perlulah sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

"Keputusan ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan, Sabtu ini," katanya, dalam sidang media.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan mengumumkan berita gembira buat peminat sukan tanah air apabila mereka dibenarkan memasuki stadium bagi menyaksikan perlawanan atau acara sukan.

Ismail berkata kebenaran itu diberikan selepas tiada lagi negeri yang berada dalam Fasa 1 susulan Kedah yang beralih dari Fasa 1 kepada Fasa 2 sekali gus menyaksikan beberapa kelonggaran baharu dibenarkan.

Antara syarat yang ditetapkan adalah penonton atau penyokong sudah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

Selain itu, kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 9:18 PM