Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan berpeluang cerah untuk membuktikan keupayaan di peringkat antarabangsa apabila mereka bakal menyertai Hoki Piala Dunia Remaja Wanita 2022 yang akan berlangsung pada 1 hingga 12 April 2022 di Potchefstroom, Afrika Selatan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) sudah menghantar tawaran kepada KHM untuk menyertai kejohanan itu selepas terdapat satu slot kosong bagi benua Asia selepas Jepun membuat keputusan untuk menarik diri.

Beliau berkata, Malaysia dipilih untuk mengisi slot tersebut berdasarkan kiraan merit yang menyaksikan pasukan negara berada di kedudukan kelima Asia.

Katanya, sejak Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Wanita diperkenalkan pada 1989 di Ottawa, Canada, ini adalah kali pertama Pasukan Remaja Wanita Malaysia membuat penampilan di kejohanan berprestij itu.

"Pihak pengurusan tertinggi KHM nyata gembira dengan perkhabaran dan undangan yang kami terima dan kami melihat peluang beraksi di Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia Remaja Wanita 2022 sebagai satu penghormatan.

"Selepas berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi KHM serta Majlis Sukan Negara (MSN), kami sebulat suara bersetuju untuk menerima peluang yang ditawarkan bagi mengambil bahagian beraksi di Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia Remaja Wanita 2022.

"KHM cukup berbesar hati untuk menghantar Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan beraksi di kejohanan tertinggi dunia itu dan ia selaras dengan misi iaitu untuk membawa hoki wanita di kedudukan yang tertinggi dan terbaik di peringkat Asia mahupun dunia dalam lima tahun akan datang.

"Segala perancangan dan persediaan termasuk pengumuman senarai penuh pemain yang akan menyertai kejohanan ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya.

Hoki Piala Dunia Remaja Wanita edisi kesembilan ini menyaksikan Malaysia di kedudukan ranking ke-20 dunia akan menyertai Belanda (ranking pertama), England (ke-2), Argentina (ke-3), Jerman (ke-5), India (ke-9), Korea (ke-11), Ireland (ke-12) dan Kanada (ke-13).

Selain itu, pasukan yang turut menyertai kejohanan itu adalah Amerika Syarikat (ke-15), Afrika Selatan (ke-16), Rusia (ke-22), Wales (ke-23), Uruguay (ke-26), Ukraine (ke-28), dan Zimbabwe berkedudukan ke-54 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 9:01 PM