DATUK Jamal Nasir. -FOTO NSTP
DATUK Jamal Nasir. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Individu yang berstatus naturalisasi tidak boleh mendapat tempat istimewa untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen Piala Asia 2023.

Hal ini kerana pemain seperti Lee Tuck, Sergio Aguero, Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula atau beberapa pemain yang bakal mendapat status itu harus terus membuktikan keupayaan mereka di pentas Liga Malaysia (Liga M) sebelum diserap dalam pasukan kebangsaan.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menjelaskan pemain naturalisasi sepatutnya mempunyai corak permainan lebih baik daripada individu tempatan sekali gus pemilihan mereka untuk mewakili negara adalah berbaloi.

Beliau berkata, seandainya prestasi pemain naturalisasi itu sekadar setaraf dengan standard pemain tempatan, lebih baik tempat dalam skuad Harimau Malaya diberikan kepada anak tempatan.

"Pemain naturalisasi yang kita ambil harus lebih baik daripada pemain tempatan, bukan ambil yang setaraf atau lebih teruk dari pemain tempatan.

"Kalau dia nak main sebagai pemain naturalisasi untuk kelab, itu hal dia. Tetapi untuk pasukan negara, anda perlu nilai bahawa standard dia lebih baik daripada pemain tempatan.

"Kalau sama standard lebih baik kita letak pemain tempatan sahaja. Saya bercakap untuk bola sepak Malaysia, Saya mahu lihat bola sepak Malaysia terus maju.

"Jika untuk kelab, saya tak kisah sebab itu hak mereka. Bagi pasukan kebangsaan, kita kena pilih ikut keupayaan mereka menyumbang kepada Harimau Malaya. Jika dekat kelab asyik jadi pemain simpanan, tapi pasukan kebangsaan panggil juga, itu pelik.

"Sepatutnya kita yang ada empat atau lima pemain naturalisasi, kita patut lebih baik dari Thailand. Sebab empat atau lima pemain itu yang harus jadi tonggak pasukan," katanya.

Mengikut rekod, tempat dalam skuad kebangsaan untuk ke Piala Asia 2023 dilihat menjadi rebutan semua pemain dengan saingan liga musim ini bakal menjadi medan persaingan sengit untuk mereka menunjukkan prestasi terbaik.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon sebelum ini pernah menyatakan bahawa dia tidak hanya memandang kepada status naturalisasi, sebaliknya akan menilai semua pemain berdasarkan prestasi untuk dipanggil menyertai skuad negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 2:11 PM