SKUAD B-23 negara tewas semua tiga perlawanan Kumpulan D di Piala Asia B-23 di Qatar. FOTO FB FAM
SKUAD B-23 negara tewas semua tiga perlawanan Kumpulan D di Piala Asia B-23 di Qatar. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Keputusan tidak menyebelahi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara dengan tewas 'hatrik' dalam semua perlawanan Kumpulan D Piala Asia B-23 di Qatar mengundang persoalan mengenai nasib Harimau Malaya pada masa akan datang.

Rata-rata pemain yang beraksi di pentas Piala Asia B-23 berusia lingkungan 22 dan 23 tahun, sekali gus memberi bayangan mereka akan beralih ke peringkat senior bermula tahun depan.

Skuad muda negara ini boleh dikatakan 'cerminan' bagi pasukan senior kelak dan berdasarkan prestasi mereka ketika ini, bukan saja untuk beraksi di pentas Piala Dunia adalah perkara mustahil, namun menjadi juara Piala AFF pun agak sukar.

Ketika prestasi bola sepak negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam semakin meningkat atau menyerlah, pasukan bola sepak negara seolah-olah masih lagi bergelut untuk mendapatkan rentak mereka di saingan peringkat antarabangsa.

Situasi terbabit menggambarkan seperti ada yang tidak kena kepada sistem pembangunan dan pendekatan yang dilakukan membabitkan pasukan muda dan senior negara hingga gagal memperoleh keputusan positif dalam saingan kompetitif seperti Piala Asia.

Ramai menuding jari kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mengubah jadual perlawanan hingga barisan pemain tidak memperoleh minit permainan, sekali gus menyebabkan prestasi mereka merudum atau kurang bertenaga berbanding lawan mereka.

Malah, terdapat pemerhati bola sepak yang melihat kurang minit perlawanan membabitkan skuad B-23 menyebabkan mereka kurang kompetitif atau kekok apabila berhadapan lawan lebih hebat daripada mereka.

Namun, sebagai pemain profesional dan mempunyai barisan kejurulatihan yang lengkap, masalah terbabit sebenarnya bukanlah perkara besar kerana mereka mempunyai masa mencukupi untuk menyediakan pasukan beraksi di kejohanan besar seperti Piala Asia.

Kenyataan itu disokong legenda bola sepak tanah air, Datuk Jamal Nasir Ismail yang melihat seperti ada tidak kena dengan sistem bola sepak negara kerana sehingga kini gagal melahirkan pemain terbaik untuk menyinar di peringkat antarabangsa.

"Tidak dinafikan akan ada yang terlepas pandang, tetapi majoriti pemain terpilih adalah yang terbaik.

"Kita kena salahkan sistem kenapa kita tidak mampu lahirkan pertahanan, pemain tengah dan penyerang terbaik yang sepatutnya tugas itu adalah kerja kelab.

"Kilang pemain adalah kelab dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) hanya kelolakan pasukan jika ada pertandingan antarabangsa. Tolong utamakan negara, bukannya kelab dan saya tidak mahu salahkan pemain atas kegagalan kali ini," katanya.

Sementara itu, bekas kapten Harimau Malaya, Safee Sali berkata, pihak berkaitan perlu bermula daripada bawah dengan menekan pembangunan akar umbi dalam melahirkan pemain terbaik pada masa akan datang.

"Perlu perubahan dalam sistem bola sepak negara jika mahu melihat Malaysia menyinar di kejohanan besar seperti Piala Asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 7:07 PM