Aksi pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula (dua kiri) ketika perlawanan berdepan UAE, minggu lalu. FOTO FAM
Aksi pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula (dua kiri) ketika perlawanan berdepan UAE, minggu lalu. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika mahu mengambil pemain import sebagai naturalisasi sekurang-kurangnya boleh bermain empat atau lima tahun untuk negara.

Itu pandangan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melihat pemain naturalisasi ketiga negara Guilherme De Paula sebenarnya tidak sesuai dinaturalisasikan berdasarkan faktor usia yang sudah 'lanjut'.

Menerusi temubual di laman Instagram Hafizal Hamad, Tunku Ismail melihat pemain naturalisasi seharusnya boleh digunakan dalam tempoh yang lama selain bersesuaian dengan keperluan skuad kebangsaan.

"Saya tak ada isu dengan Paula, dia pun pemain saya cuma bila kita naturalisasikan dia, umur dia tidak sesuai.

"Kalau kita nak, kita kena tengok long term (jangka masa panjang). Sekurang-kurangnya boleh main empat atau lima tahun untuk negara," katanya.

Mengikut rekod, bekas pemain Sri Pahang FC, Mohamadou Sumareh adalah pemain naturalisasi paling muda ketika ini iaitu berusia 26 tahun manakala Liridon Krasniqi pula 29 tahun dan paling tua, De Paula (34 tahun).

Hal ini bermakna bekas pemain Perak FC itu mempunyai tempoh beberapa tahun saja lagi untuk beraksi bersama skuad kebangsaan namun itu juga bergantung kepada prestasi terkininya.

Sementara itu, Tunku Ismail berkata, dua tonggak import JDT, Endrick Dos Santos dan Gonzalo Cabrera dalam perancangan seterusnya untuk dinaturalisasikan sekali gus memberi manfaat kepada skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

"Cabrera akan menjadi aset skuad kebangsaan kerana dia boleh bermain tengah menyerang, penyerang, sayap kiri dan kanan termasuk tengah menyerang. Dia boleh main empat atau lima posisi. Dia ada kualiti dan akan ada impak dalam pasukan kebangsaan.

"Dos Santos juga kerana umurnya dan jika skuad kebangsaan memerlukannya," katanya.

Berdasarkan situasi terkini, Endrick dan Cabrera akan memenuhi syarat sebagai pemain naturalisasi selepas kedua-duanya lengkap beraksi dalam Liga Malaysia selama lima tahun berturut-turut.

Cabrera beraksi bersama JDT sejak 2017 dan pemain sayap kelahiran Argentina ini akan melengkapkan tahun kelima beraksi di Malaysia pada tahun ini.

Endrick pula mula beraksi di Malaysia bersama Felcra FC pada 2018 dan selepas itu menyertai Selangor (2019) dan kemudiannya Pulau Pinang (2020).

Pemain berusia 25 tahun ini akan melengkapkan tahun kelima pada 2022 kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 5:27 PM