HOWE mahukan penjelasan di atas keputusan pengadil yang tidak memihak kepada mereka. FOTO AFP
HOWE mahukan penjelasan di atas keputusan pengadil yang tidak memihak kepada mereka. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Newcastle Eddie Howe menyuarakan kekecewaannya terhadap beberapa siri keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang kontroversi sehingga mengecewakan usaha mereka untuk mengelak tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL).

Beliau berkata, ia menimbulkan rasa 'ketidakadilan' dalam kalangan pemainnya.

The Magpies dinafikan penalti pada dua perlawanan terakhir mereka dan Liverpool memperoleh gol penyamaan walaupun pemainnya, Isaac Hayden terbaring di atas padang di dalam kotak penalti.

Howe kini mahukan penjelasan daripada Professional Game Match Officials Limited (PGMOL), badan yang mengawasi pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL), tatkala Newcastle berada di tangga kedua terbawah menjelang perlawanan di laman sendiri menentang Manchester United pada pagi Selasa.

"Saya hanya keliru sedikit mengenai penggunaan VAR. Pada mulanya apabila VAR diperkenalkan, ia digunakan secara kerap untuk cuba mendapatkan keputusan yang betul kerana akhirnya itulah yang kita semua cari... Tetapi atas sebab tertentu, saya rasa penggunaannya menjadi lemah.

"Apa yang kami minta hanyalah sedikit penjelasan mengenai keputusan sebenarnya, dan bagaimana pegawai pada masa itu, sama ada di atas padang atau penggunaan VAR, membuat keputusan itu," kata Howe.

Newcastle melakar kejutan dengan mendahului perlawanan di Anfield sebelum Diogo Jota menyamakan kedudukan selepas pengadil Mike Dean membenarkan permainan diteruskan walaupun Hayden terbaring di dalam kawasan penalti yang kelihatan mengalami kecederaan kepala.

The Magpies tewas 1-3, dengan kemudiannya rayuan Ryan Fraser untuk mendapatkan penalti ditolak selepas dia dikasari Trent Alexander-Arnold.

Pemain antarabangsa Scotland itu sekali lagi dikasari hujung minggu lalu apabila dia berdepan penjaga gol Manchester City, Ederson di St James' Park - tetapi tidak memuaskan hati pengadil Martin Atkinson dengan Newcastle ketika itu sudah ketinggalan 0-2 dalam perlawanan yang berkesudahan mereka tumpas 0-4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 10:31 AM