PEMAIN Piala Thomas dan Uber bergambar sebelum berlepas ke Chengdu, hari ini. FOTO FB BAM
PEMAIN Piala Thomas dan Uber bergambar sebelum berlepas ke Chengdu, hari ini. FOTO FB BAM
Aida Adilah Mat


Sepang: Pasukan Piala Thomas negara berada dalam 'mood' terbaik untuk memulakan kempen merampas kembali piala berprestij itu yang akan bermula Sabtu ini di Chengdu, China.

Biarpun permulaan perjalanan pemburuan itu diiringi dengan pelbagai insiden, pemain negara sudah bersedia mengibarkan cabaran.

Bermula dengan masalah teknikal apabila pendingin hawa bas yang membawa barisan pemain Piala Thomas dan Uber ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, tidak berfungsi, skuad lelaki negara diuji lagi apabila pasport salah seorang pemain negara tertinggal di dalam bas.

Bagaimanapun, itu hanyalah ujian awal buat barisan pemain dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berharap segala masalah yang dialami di sini akan ditebus dengan kejayaan menjulang Piala Thomas.

Tegas Rexy, harapannya adalah satu iaitu pemain melupakan segala kesukaran di sini dan fokus kepada perlawanan mendatang terutama menentang Hong Kong yang dianggap menjadi penentu untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati.

"Saya mahu semua pemain turun dengan semangat membara. Mereka berada dalam keadaan cukup bersedia selepas menjalani latihan pusat sejak seminggu lalu.

"Seperti saya cakap sebelum ini, mood pasukan berada dalam keadaan baik dan kalau kita lihat, semuanya positif. Semua pemain menjalani latihan serta melakukan aktiviti seperti sarapan bersama," katanya.

Sekiranya mencatat kemenangan ke atas Hong Kong, Malaysia dianggap sudah selangkah berada di suku akhir memandangkan hanya berdepan Algeria untuk perlawanan kedua sebelum membuat perhitungan menentang Denmark bagi aksi terakhir kumpulan pada 1 Mei nanti.

Namun Rexy mengingatkan skuad Piala Thomas agar berhati-hati dengan permainan atau taktik yang akan digunakan Hong Kong terutama dalam acara perseorangan.

Malaysia membariskan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh bagi acara perseorangan selain mempertaruhkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri untuk beregu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 5:56 PM