FIRDAUS (kiri) gesa naikkan keghairahan bola sepak di peringkat kampung. FOTO Bernama
FIRDAUS (kiri) gesa naikkan keghairahan bola sepak di peringkat kampung. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sudah tiba masanya semua pihak terutamanya Persatuan Bolasepak Negeri (FA), kelab-kelab dan akademi di semua peringkat di seluruh negara tidak mengabaikan bakat di kampung-kampung.

Gesaan itu disuarakan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed yang akui kecewa sikap segelintir pihak apabila dilihat gemar memilih jalan pintas dengan bergantung kepada produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan sekolah sukan semata-mata.

Jelas Firdaus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM itu, bakat pembangunan bola sepak di Malaysia tidak seharusnya terlalu mengharapkan AMD dan sekolah sukan yang sehingga kini sebenarnya belum menunjukkan impak positif yang diharapkan untuk skuad kebangsaan.

"Persatuan dan kelab ini perlu kreatif dalam mencari pemain, bukan sahaja pemain dari sekolah sukan tetapi carilah di ceruk-ceruk, daerah-daerah sebab dulu pun kita pernah lahirkan pemain-pemain dari ceruk dan daerah.

"Hari ini kita lihat kita terlalu mengharapkan sekolah-sekolah sukan dan akhirnya kita tahu bukanlah bagus sangat pun skuad kebangsaan.

"Setiap tahun kita anjurkan Piala Presiden dan Piala Belia, tetapi saya ingin melihat prestasi pasukan yang beraksi bawa umur ini meningkat.

"Saya mohon maaf dahulu untuk mengatakan bahawa, kita masih belum dapat melihat pasukan di peringkat belia ini dapat melonjakkan prestasi pasukan kebangsaan.

"Jadi, saya berharap agar pasukan yang bertanding jangan cepat berasa selesa. Kita kena pastikan bahawa mutu setiap pasukan di peringkat belia ini sentiasa ditingkatkan," katanya.

Ketika ini, AMD adalah 'kilang' bagi melahirkan pemain muda berbakat negara yang diharapkan mampu dieksport ke luar negara apabila mencapai tahap dewasa.

Begitupun selepas hampir 10 tahun AMD menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dilancarkan, hanya Luqman Hakim Shamsudin sahaja berjaya mengikat kontrak dengan kelab Belgium, KV Kortrijk.

Selebihnya ketika ini banyak menghangatkan saingan Liga Malaysia (Liga M) antaranya bintang bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi; penjaga gol Penang FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; penyerang JDT II, Muhammad Najmuddin Akmal dan ramai lagi.

Ujar Firdaus lagi, beliau turut menggesa FA agar memeriahkan suasana di setiap peringkat agar memberi peluang buat 'ubi-ubi muda' yang berada di kampung-kampung untuk beraksi di tahap lebih tinggi.

"FA negeri kena naikkan keghairahan bola sepak di peringkat kampung supaya mereka ini berpeluang mewakili daerah, negeri dan negara.

"Kalau tidak, kita terpaksa mengharapkan sekolah sukan dan AMD yang sedia ada tetapi kita pun tahu dalam tempoh lima hingga 10 tahun ini, kita tak nampak peningkatan di peringkat antarabangsa.

"Zaman dulu kita tiada AMD, tiada sekolah sukan, pasukan kita biasa sahaja menang, dengan Thailand pun menang juga," katanya yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 8:01 PM