FAM sebelum ini mengesahkan Kelantan FC dikenakan sekatan perpindahan. FOTO Ihsan TRW Kelantan FC
FAM sebelum ini mengesahkan Kelantan FC dikenakan sekatan perpindahan. FOTO Ihsan TRW Kelantan FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Nasib malang terus melanda pasukan Kelantan FC apabila berpotensi disingkirkan disingkirkan dalam saingan Liga A1 Semi Pro jika tidak memenuhi syarat utama pendaftaran minimum 20 pemain yang ditetapkan Liga Bolasepak Amatur (AFL).

Hal ini kerana, Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad menjelaskan bahawa Kelantan FC masih lagi dikenakan tindakan sekatan pendaftaran pemain baharu oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji.

Beliau berkata, pasukan yang berpangkalan di Timur tanah air itu diberikan tempoh untuk menyelesaikan isu membabitkan pendaftaran pemain sebelum 8 Mei depan bagi memberi ruang dan peluang kepada AFL mencari pasukan baharu sekiranya Kelantan FC gagal berbuat demikian.

"Kelantan diberikan tempoh untuk menyelesaikan isu pendaftaran pemain. Kita tak bagi syarat namun apa yang kena itu adalah keputusan FAM.

"Kelantan sekarang ini dikenakan sekatan untuk ambil pemain baharu. Mungkin satu atau dua hari ini boleh selesaikan (sekatan pendaftaran pemain baharu).

"Kelantan sudah selesaikan pembayaran pendaftaran pasukan namun sekarang bersangkut pula pada syarat lain. Oleh itu, pasukan terbabit diberikan tempoh sehingga 8 Mei untuk selesaikan manakala pasukan lain pula tarikh tutup pada 30 Mei," katanya, ketika ditemui dalam sidang media pada Majlis Pelancaran Logo Baharu Pertandingan, di sini, sebentar tadi.

Mengikut rekod, FAM sebelum ini mengesahkan Kelantan FC dikenakan sekatan perpindahan pemain susulan isu tunggakan gaji membabitkan pasukan itu.

Badan bebas, 'First Instance Body' (FIB) memaklumkan hukuman itu dijatuhkan susulan kegagalan Kelantan FC menghantar bukti bayaran caruman KWSP serta tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Sementara itu, Raimi berkata, AFL kemungkinan akan mencari pasukan lain atau mengambil tindakan susulan sekiranya Kelantan FC tidak boleh mendaftar minimum 20 pemain pada tarikh yang ditetapkan itu.

"Secara tidak rasmi, kami dimaklumkan Kelantan FC tiada masalah untuk mendaftar 20 pemain. Namun, tempoh yang diberikan sebelum bermulanya saingan liga pada awal Jun membolehkan AFL mencari alternatif lain jika pasukan itu tidak boleh beraksi kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 7:33 PM