KELANTAN FC masih dikenakan sekatan perpindahan pemain. FOTO TRW Kelantan FC
KELANTAN FC masih dikenakan sekatan perpindahan pemain. FOTO TRW Kelantan FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kelantan FC perlu banyak mengeluarkan perbelanjaan dalam tempoh terdekat ini apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua masih lagi kekal.

Pengerusi badan bebas 'First Instance Body' (FIB) Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif memaklumkan bahawa hukuman yang dikenakan pihaknya adalah membabitkan kes berbeza dengan tindakan yang sudah diambil oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Jadi, Kelantan FC perlu menyelesaikan segala kes tunggakan bayaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) serta tunggakan gaji pemain dan pegawai yang dirujuk kepada FIB untuk sekatan perpindahan pemain itu ditarik semula.

"Bagaimanapun saya melihat, CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Kelantan FC, Norizam Tukiman terbuka mengambil tanggungjawab serta menunjukkan usaha untuk membayar tunggakan itu.

"Dengan tempoh masa yang diberikan sehingga tarikh akhir jendela kedua pada 1 Ogos depan, saya berharap Kelantan FC dapat menyelesaikan masalah ini," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan bahawa Kelantan FC sebenarnya belum lagi terlepas daripada 'bala' lain apabila perlu menyelesaikan kes mereka membabitkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dan MFL.

Situasi terbabit terbabit sekali gus menyaksikan Kelantan FC sebenarnya belum 100 peratus keluar daripada sekatan perpindahan pemain.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, Kelantan FC hanya membayar tuntutan membabitkan tiga kes di bawah Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC).

Mengikut rekod, FAM mengenakan sekatan perpindahan ke atas Kelantan susulan kegagalan kelab itu melunaskan tunggakan gaji pemain dalam tempoh ditetapkan.

MFL pula mengumumkan hukuman sama dikenakan terhadap Kelantan dengan TRW tidak boleh membawa masuk pemain baharu bagi jendela.

Hukuman itu diputuskan FIB susulan kegagalan kelab berkenaan menghantar bukti bayaran caruman KWSP serta tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada 28 dan 30 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 1:39 PM