PEMAIN B-23 negara  melakukan percubaan yang cuba dihadang pemain Uzbekistan. FOTO FAM
PEMAIN B-23 negara melakukan percubaan yang cuba dihadang pemain Uzbekistan. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) negara terus bermurah hati di pentas antarabangsa apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan pada penampilan pertama menentang Uzbekistan dalam saingan kumpulan D Piala Asia B-23, di Qatar, sebentar tadi.

Perlawanan berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa itu menyaksikan skuad pimpinan Juan Torres Garrido ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama selepas pasukan lawan dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Jasurbek Jaloliddinov pada minit sembilan.

Sepakan terbabit diberikan pengadil dari Jordan Ahmed Faisal Alali selepas pemain Uzbekistan Ruslanbek Jiyanov dikasari Syahir Bashah dalam usaha mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Gol terbabit jelas sekali 'membunuh' rentak perlawanan skuad muda negara yang pada lapan minit awal menyaksikan mereka bertali arus melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Malah, penyerang yang berpengkalan di Jepun Luqman Hakim Shamsuddin hampir memyumbat gol pertama untuk negara pada ketujuh namun sepakannya berjaya dihalang pertahanan lawan sekali gus menyelamatkan gawang Uzbekistan daripada dibolosi.

Sepanjang tempoh 35 minit separuh masa pertama menyaksikan Uzbekistan lebih menguasai perlawanan dengan sering melakukan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Sepakan dari luar kotak penalti oleh Ruslanbek Jiyanov hampir merobek gawang Malaysia namun mujur ketangkasan penjaga gol negara Azim Al Amin berjaya menafikan jaringan terbabit. Kedudukan separuh masa pertama kekal 0-1 memihak kepada skuad kendalian Timur Kapadze.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 10:03 PM