HAQIMI Azim (kanan) ledak gol tunggal negara. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
HAQIMI Azim (kanan) ledak gol tunggal negara. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dan sedekah penalti tidak dapat dipisahkan dengan kali ini pada aksi terakhir kumpulan D Piala Asia B-23 menentang Kuwait hingga menyebabkan mereka tewas 1-2, sebentar tadi.

Perlawanan berlangsung di Stadium Al-Jonoub itu menyaksikan skuad muda negara menutup kempen kumpulan D Piala Asia B-23 Qatar dengan tangan kosong apabila gagal mencatatkan sekurang-kurangnya keputusan seri untuk semua perlawanan diharungi mereka.

Ketika ini skuad muda negara itu tidak pernah gagal sedekah penalti kepada pihak lawan bermula pada aksi pertama menentang Uzbekistan dan diikuti menentang Vietnam manakala terbaharu adalah bertemu Kuwait.

Pada permulaan permainan, barisan anak buah Juan Torres Garrido mempamerkan aksi meyakinkan dengan sering menguji kubu lawan dalam usaha menghasilkan gol.

Skuad negara hampir mendahului perlawanan seawal minit ke-16 namun jaringan Luqman Hakim Shamsuddin dibatalkan selepas mendapati dia berada dalam situasi ofsaid.

Corak permainan skuad muda negara sedikit terganggu apabila Garrido terpaksa mengeluarkan Daryl Sham dengan menggantikan Mukhairi Ajmal Mahadi berikutan pemain terbabit mengalami kecederaan.

Disangka panas hingga ke petang namun hujan pula di tengah hari di mana skuad muda negara perlu beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol Sikh Izhan Nazrel 'menanduk' muka lawan dalam perebutan bola di udara sekali gus dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan dari Australia Akexander King.

Bertambah malang buat pasukan muda negara kerana Kuwait dihadiahkan pula sepakan penalti pada masa tambahan separuh masa pertama selepas Muhammad Umar Hakeem mengasari lawan di kawasan kotak penalti Malaysia.

Pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas meneliti ulang tayang video bantuan pengadil (VAR) sebelum kapten Kuwait Salman Mohammed menyempurnakannya untuk meletakkan Kuwait di depan menerusi jaringan 1-0.

Bersambung babak kedua menyaksikan skuad muda negara lebih mengamalkan corak permainan bertahan dengan hanya sekali sekala melakukan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Skuad kendalian Emilio Delgado Peixe yang memasang impian untuk membawa pulang tiga mata menambah derita skuad muda negara apabila Talal Al Qaisi menanduk gol kedua untuk Kuwait pada minit 60 untuk kedudukan 2-0.

Malaysia akhirnya membuka akaun gol dalam kempen Piala Asia B-23 menerusi penyerang negara Haqimi Azim Rosli menyamakan kedudukan hasil rembatan deras pada minit 63 untuk kedudukan 1-2.

Permainan berbaki tujuh minit menyaksikan Kuwait pula beraksi dengan 10 pemain selepas Salman dilayangkan merah berikutan dia melakukan terjah keras terhadap Umar.

Situasi terbabit gagal dimanfaatkan skuad muda negara walaupun diberi 10 minit masa tambahan sekali gus perlawanan berakhir dengan keputusan Kuwait 2 - 1 Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 1:55 AM