Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Dua gol hasil sepakan percuma penyerang Terengganu FC, Sony Norde membuatkan Sabah terpaksa berkongsi satu mata dalam aksi Liga Super yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Likas, malam ini.

Keputusan itu sekali gus menidakkan rekod kemenangan Sabah FC di halaman sendiri sejak awal permulaan musim 2023, selain menyukarkan hasrat skuad Sang Badak untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

Norde menjadi hero buat Terengganu kerana berjaya merapatkan jurang gol pada minit tambahan separuh masa pertama sebelum menyamakan kedudukan 2-2 pada minit kecederaan sebelum wisel penamat babak kedua.

Penyerang berbisa pasukan pelawat itu mencipta gol pertamanya pada masa tambahan selepas Sabah FC mendahului 2-0.

Dua gol Sabah dijaringkan hasil tandukan tajam Telmo Castanheira pada minit ke-27 dan sepakan penalti yang dilakukan Darren Lok pada minit ke-36.

Sepakan penalti itu dihadiahkan pengadil selepas bola yang ditendang Daniel Ting ke arah gawang Terengganu terkena tangan seorang pemain lawan.

Sabah diasak Terengganu sepanjang babak kedua menyebabkan anak buah Datuk Ong Kim Swee lebih banyak bertahan di kawasan sendiri berbanding pasukan lawan.

Meskipun berjaya mendapat beberapa peluang menyerang balas, termasuk diberikan sepakan sudut dan melakukan cubaan berbahaya, namun usaha skuad Sang Badak untuk menambah jaringan pada separuh masa kedua menemui jalan buntu.

Sebaliknya, Terengganu tidak berputus asa mencari peluang untuk menyamakan kedudukan sebelum akhirnya peluang terbuka apabila Norde diberikan sepakan percuma dari luar kotak penalti Sabah kira-kira tiga minit sebelum masa tambahan babak kedua tamat.

Berikutan keputusan itu, kedudukan Sabah jatuh ke tangga kelima carta liga dengan mengumpul 21 mata daripada 11 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 10:07 PM
PEMAIN Sabah FC, Telmo Castanheira (tengah) menanduk masuk bola menewaskan penjaga gol Terengganu FC, Mohd Suhaimi Husin bagi menghasilkan gol pertama Sabah FC ketika menentang Terengganu FC dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Likas malam ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
PEMAIN Sabah FC, Telmo Castanheira (tengah) menanduk masuk bola menewaskan penjaga gol Terengganu FC, Mohd Suhaimi Husin bagi menghasilkan gol pertama Sabah FC ketika menentang Terengganu FC dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Likas malam ini. FOTO MOHD ADAM ARININ