MBAPPE (jersi putih) menjaringkan gol kedua peribadi dan gol keempat PSG ketika menang 4-1 ke atas Barcelona, awal pagi tadi. FOTO AFP
MBAPPE (jersi putih) menjaringkan gol kedua peribadi dan gol keempat PSG ketika menang 4-1 ke atas Barcelona, awal pagi tadi. FOTO AFP
Reuters

Barcelona: Penyerang Paris St Germain (PSG), Kylian Mbappe berkata, membantu kelab kelahirannya menang gelaran sulung Liga Juara-Juara Eropah (UCL) adalah kebanggaan buatnya selepas menjaringkan dua gol ketika bangkit menewaskan Barcelona 4-1 di suku akhir kedua kejohanan, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan mereka layak ke separuh akhir dengan agregat 6-4, selepas PSG ketinggalan 2-3 di suku akhir pertama.

Mbappe yang akan meninggalkan PSG pada musim panas ini dengan Real Madrid muncul kelab utama mahu menandatanganinya berkata, masa depannya belum difikirkan dengan fokus sepenuhnya untuk membawa trofi ke ibu negara Perancis itu.

"Saya memiliki impian untuk memenangi trofi UCL ke Paris," kata Mbappe selepas perlawanan di Stadium Olimpik Barcelona.

"Saya bangga berada di PSG sejak hari pertama. Ia bukan kerana saat baik dan buruk yang mungkin menjejaskan kebanggaan saya. Ia adalah kebanggaan mewakili kelab di ibu negara saya, ia sangat istimewa kerana saya membesar di sini.

"Pengalaman menikmati malam indah seperti ini sebagai warga Paris, ia memang hebat. Kami ada satu lagi halangan sebelum ke final di Wembley, jadi kami perlu kekal tenang."

Selepas tewas 2-3 di Paris, PSG ketinggalan 0-1 di Barcelona sebelum tuan rumah beraksi dengan 10 pemain apabila Ronald Araujo dilayangkan kad merah kerana mengasari Bradley Barcola pada minit ke-29.

Bekas penyerang Barcelona, Ousmane Dembele menyamakan kedudukan buat pelawat sebelum rehat sebelum Vitinha dan Mbappe melengkapkan malam gemilang mereka di babak kedua.

PSG akan berdepan Borussia Dortmund di separuh akhir selepas kelab Jerman itu menundukkan Atletico Madrid dalam satu lagi aksi suku akhir.

Selepas gagal melepasi pusingan 16 terakhir pada dua musim lalu, PSG memanfaatkan kesilapan tuan rumah untuk mengubah keputusan perlawanan.

"Kami menewaskan pasukan hebat pada malam ini, tetapi jika kami tewas, saya tetap bangga menjadi warga Paris," kata Mbappe.

"Kini selepas pencapaian seperti ini, kebanggaan semakin menebal. Kami sangat gembira, kami menewaskan pasukan hebat dan hampir ke final. Ia malam cukup membanggakan."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 8:12 AM