Barcelona: Impian Barcelona untuk menumpaskan Paris Saint-Germain dan muncul juara kumpulan Liga Juara-Juara bergantung kepada keupayaan mereka mengasak kubu juara Perancis itu lebih lagi berbanding ketika kekalahan 2-3 di Paris, ujar jurulatih Luis Enrique.

PSG, yang bangkit sebelum menundukkan Nantes 2-1 Sabtu lalu sekali gus memastikan mereka satu-satunya pasukan tanpa kalah dalam liga utama Eropah, hanya memerlukan seri bagi mengesahkan mereka menjuarai kumpulan Liga Juara-Juara buat musim ketiga berturut-turut.

Barcelona yang menyingkirkan PSG menerusi kelebihan gol di tempat lawan pada suku akhir kempen 2012-13, pasti memburu gol, namun mereka hadir pada perlawanan itu selepas mencipta kemenangan besar 5-1 ke atas Espanyol hujung minggu lalu dengan Lionel Messi menyumbat hatrik.

Bagaimanapun, Enrique, yang beraksi bersama jurulatih PSG, Laurent Blanc di Barcelona berkata, barisan serangannya perlu lebih klinikal berbanding ketika kalah di Paris.

“Saya harap pertahanan mereka akan lebih terjejas di Nou Camp berbanding perlawanan pertama,” kata pengendali berusia 44 tahun itu yang mengambil alih selepas Gerardo Martino dipecat berikutan musim tanpa trofi kejuaraan tahun lalu.

“Saya harap kami berhak menang dan hanya satu cara melakukannya adalah dengan mempamerkan kekuasaan kami di padang.”

Bagi Enrique, yang bermain buat kedua-dua kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Barca sepanjang kariernya, perlawanan menentang PSG satu cabaran dan peluang terbaik menguji keupayaan pemainnya mengatasi pasukan terbaik.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 6:49 AM