MIKEL Arteta. FOTO AFP
MIKEL Arteta. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta perlu mengenepikan hubungan baik dengan pengendali Manchester City, Pep Guardiola menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam misi merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Kedua-dua individu terbabit sebelum ini cukup rapat dengan Arteta pernah bergelar penolong jurulatih selama tiga musim di City sebelum berhijrah ke Emirates pada 2019 untuk mengendalikan Arsenal.

Ketika ini, dua kelab itu hanya dipisahkan satu mata dengan City yang berada di tangga ketiga bakal menanti kunjungan pendahulu EPL di Stadium Etihad malam esok.

Menurut Arteta, beliau perlu mengubah status hubungannya dengan Guardiola demi memastikan Arsenal kekal di puncak liga.

"Kekaguman dan apa yang saya rasa terhadapnya pastinya tidak berubah. Pada pendapat saya, beliau adalah jurulatih terbaik di dunia jauh di depan dan beliau antara orang yang paling baik yang pernah saya temui dalam bola sepak.

"Sudah tentu beliau antara yang paling saya seronok dan gembira bekerja bersamanya. Ia akan kekal di sana selama-lamanya.

"Pada masa ini peraturannya kekal begitu dan anda perlu menyesuaikan diri dengannya," Arteta pada sidang media praperlawanan kedua-dua pasukan itu.

Ujarnya lagi, bukan mudah untuk membenam City yang kini dalam misi pemburuan trofi EPL yang keempat berturut-turut selain cuba mengulangi pencapaian treble musim lalu.

"Mereka meningkatkan tahap liga ini dan bola sepak secara umum ke satu tahap yang belum pernah dilihat sebelum ini.

"Inilah keunikan sukan ini kerana ia menjadikan anda lebih bagus dan mencabar diri anda. Anda perlu kekal dengan rentak itu dan itulah yang kami cuba lakukan.

"Ia satu perlawanan yang besar buat kedua-dua pasukan. Ia akan memberikan kami rangsangan lebih besar sekali lagi jika kami pergi ke sana dan menang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 8:19 AM