STUART Ramalingam. FOTO OWEE AH CHUN
STUART Ramalingam. FOTO OWEE AH CHUN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan sudah menerima permohonan rayuan Kelantan FC terhadap kegagalan pasukan itu meraih Lesen Kebangsaan untuk beraksi di Liga Super musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, proses rayuan itu bukan sekadar serahan dokumen-dokumen yang baru tetapi pihak First Instance Body (FIB) juga akan menilai semula keputusan yang ditetapkan sebelum ini.

"Segala keputusan yang bakal dibuat luar daripada bidang kuasa MFL ketika ini.

"Saya tidak boleh kata peluang cerah atau tidak, tanggungjawab atas Kelantan FC sendiri, jika perkara itu boleh diselesaikan atau tidak," katanya.

Semalam, Arena Metro melaporkan pemilik skuad The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman akan menghantar permohonan rayuan kepada pihak FIB dalam masa terdekat.

Begitupun, Norizam akui akui agak terkejut dengan keputusan FIB yang tidak memberikan Lesen Kebangsaan kepada Kelantan FC, sedangkan pihaknya sudah menyerahkan segala dokumen diperlukan.

Ia termasuk sudah menghantar dokumen penyelesaian babitkan lima kes Fifa sebelum tarikh akhir 31 Disember lalu, dan keputusan FIB yang diputuskan itu baginya agak terburu-buru.

Terdahulu, pada Isnin lalu menyaksikan MFL mengesahkan bahawa TRW gagal memperoleh Lesen Kebangsaan, namun diberi peluang untuk membuat rayuan sebelum 8 Januari 2024 ini.

Ia susulan TRW didakwa gagal melengkapkan dua kriteria kewangan dibawah sub kriteria F.04 dan F.11.

Ia membabitkan tunggakan gaji, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 November 2023 dan 31 Disember 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 5:53 PM