NORIZAM Tukiman. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
NORIZAM Tukiman. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelantan FC tidak akan berdiam diri apabila mengesahkan bakal membuat rayuan bagi memastikan skuad The Red Warriors (TRW) terus kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Pemilik TRW, Norizam Tukiman berkata, pihaknya akan menghantar permohonan rayuan kepada pihak FIB dalam masa terdekat.

Begitupun beliau mengakui agak terkejut dengan keputusan First Instance Body (FIB) yang tidak memberikan Lesen Kebangsaan kepada Kelantan FC, sedangkan pihaknya sudah menyerahkan segala dokumen diperlukan.

Ia termasuk sudah menghantar dokumen penyelesaian babitkan lima kes Fifa sebelum tarikh akhir 31 Disember lalu, dan keputusan FIB yang diputuskan itu baginya agak terburu-buru.

"Kelantan FC akan 'submit' rayuan walaupun kita agak terkejut dengan keputusan kerana kita 'submit' semua dokumen.

"Pertama, kita dah selesaikan semua gaji dan apa-apa perkara babitkan tujuh pemain dan semuanya dah selesai. Perkara kedua berkenaan jurulatih juga dah selesai, itu faktanya.

"Kemudian ketiga pasal lima kes Fifa (babitkan tunggakan gaji pemain dan jurulatih import), itu pun kita dah hantar pada pukul 11 malam (31 Disember 2023).

"Persoalannya kenapa FIB terburu-buru untuk mengumumkan lesen kita dibatal, sedangkan kita dah hantar pada malam tersebut. Terdapat juga kelab pasukan bola lain yang mempunyai masalah tunggakkan gaji, tetapi kenapa diluluskan lesen dan kenapa Kelantan FC tidak dapat.

"Gaji dah selesai yang bulan 8 (Ogos 2023), apa semua kita dah selesai. Malah persetujuan bersama juga dah selesai. Kita diberi peluang merayu dan kita akan buat rayuan juga," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menerusi laporan akhbar ini semalam, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa Kelantan FC gagal memperoleh Lesen Kebangsaan, namun diberi peluang untuk membuat rayuan sebelum 8 Januari 2024 ini.

Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dalam kenyataan menjelaskan keputusan itu dibuat kerana TRW didakwa gagal untuk melengkapkan dua kriteria kewangan dibawah sub kriteria F.04 dan F.11.

Beliau berkata, ia membabitkan tunggakan gaji, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 November 2023 dan 31 Disember 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 7:47 PM