KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam. FOTO ARKIB NSTP
KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan kemungkinan sekurang-kurangnya dua pasukan dikenakan sekatan pembelian pemain pada jendela kedua perpindahan, bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, unit Pelesenan Kelab MFL, First Instance Body (FIB) akan mengadakan perbincangan bagi menentukan pasukan yang kemungkinan dikenakan sekatan kerana berhadapan beberapa isu seperti tunggakan gaji.

Beliau berkata, situasi terbabit perlu dilakukan bagi memastikan pasukan itu tidak mengambil tindakan sewenang-wenangnya berkaitan tunggakan gaji selain turut memperincikan lagi kewangan pasukan supaya dapat mengharungi baki saingan liga tanpa sebarang masalah.

"FIB dan unit pelesenan akan mengadakan perjumpaan pada minggu depan. Seperti sedia maklum, terdapat satu atau dua pasukan yang perlu dibincangkan mengenai perkara itu membabitkan kedudukan kewangan ketika ini.

"Ia (sekatan pembelian pemain) akan dibincangkan berkaitan kedudukan semasa mereka dan akan diumumkan sebaik keputusan diperoleh," katanya ketika ditemui Arena Metro.

Ketika ini terdapat sekurang-kurangnya dua pasukan terpalit dengan masalah tunggakan gaji selain kedudukan kewangan mereka turut goyah seterusnya menimbulkan tanda tanya keupayaan skuad itu menghabiskan baki saingan Liga Super.

Malah, angin bertiup kencang pasukan yang mungkin dikenakan sekatan itu berpengkalan di Pantai Timur.

Musim lalu, isu tunggakan gaji yang menimpa Sarawak United menyebabkan pasukan itu dikenakan sekatan perpindahan pemain tempatan dan asing untuk tiga jendela perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Perak FC turut dikenakan hukuman sekatan perpindahan pemain oleh Fifa susulan kegagalan menyelesaikan isu tunggakan gaji lebih RM1.7 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 9:56 PM