PENGERUSI First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif. FOTO ARKIB NSTP
PENGERUSI First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Risiko pemotongan tiga mata bakal dikenakan ke atas dua pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) jika masih gagal menyelesaikan tunggakan penuh gaji musim lalu pada 30 Mac ini.

Menurut Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, hukuman pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super musim 2024-2025 dan denda RM50,000 akan dikenakan dengan serta-merta berdasarkan kepada Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 "Article 2.4 (c) Licensing Sanctions kepada dua kelab terbabit.

Jelasnya, KDA FC dan KL City didapati gagal membuat bayaran 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi 2023 pada tarikh pertama 15 Mac lalu seperti yang ditetapkan FIB sebelum ini.

"Seperti kita sedia maklum, KL City baharu sahaja mengalami perubahan pengurusan peringkat tertinggi dan Penaung KL City, Fahmi Fadzil menerusi laporan media sebelum ini telah tampil menyatakan untuk menyelesaikan urusan gaji tertunggak dengan segera.

"Selain itu, FIB sudah menerima surat rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bersetuju menyalurkan sumbangan bagi menyelesaikan bayaran tunggakan gaji KL City bagi 2023 sebelum akhir Mac 2024.

"Manakala bagi KDA FC, kelab itu sudah menyerahkan bukti pembayaran sejumlah RM600,000 sebagai bayaran sebahagian tunggakan gaji semasa, bagaimanapun ia tidak mematuhi bayaran 50 peratus jumlah tunggakan gaji seperti ditetapkan FIB.

"Namun begitu, FIB sudah menerima bukti kewangan sumber dana yang akan diterima KDA FC dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata, walaupun FIB memberi ruang untuk KL City dan KDA FC menyelesaikan tunggakan gaji, pihaknya bersedia mengenakan tindakan ke atas kedua-dua kelab itu untuk memastikan pematuhan kepada arahan FIB dihormati dan dipandang serius.

Ujarnya, FIB akan menilai semula status lesen kelab itu jika tidak mematuhi tarikh akhir kedua pembayaran tunggakan gaji serta tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing dalam musim Liga Malaysia yang akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 5:30 PM