TUNKU Ismail tegur kelab jaga kebajikan pemain. FOTO NSTP
TUNKU Ismail tegur kelab jaga kebajikan pemain. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Isu tunggakan gaji yang sebelum ini 'dijuarai' tiga pasukan iaitu Melaka United, Sarawak United dan Kelantan FC tampaknya sudah menular babitkan beberapa pasukan lain dalam Liga Super, termasuk Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City).

Perkara itu didedahkan Penaung Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meminta agar beberapa pengurusan kelab menjaga kebajikan pemain dengan lebih bertanggungjawab.

Pendedahan Tunku Ismail itu sebenarnya turut mengesahkan laporan Arena Metro sebelum ini yang mengaitkan Kedah antara pasukan terbaharu yang mengalami masalah tunggakan gaji musim ini.

"Saya berharap dan menyeru kelab-kelab menjaga kebajikan pemain-pemain mereka.

"Macam pasukan Kedah, Kelantan The Red Warriors, Sarawak United yang masih berhutang lagi dulu...Kuala Lumpur (KL City) juga yang ada masalah buat masa ini, Melaka yang masih belum selesaikan masalah dulu.

"Jadi saya harap akan ada perancangan-perancangan atau tindakan yang akan diambil di mana kebajikan pemain dijaga," katanya dalam satu program sembang bola sepak bersama sebuah stesen televisyen swasta tempatan.

Terdahulu, Arena Metro mendedahkan kemelut tunggakan gaji sudah mula menjalar ke seluruh negara babitkan satu pasukan di Utara tanah air iaitu Kedah, dua pasukan di wilayah tengah semenanjung babitkan KL City dan Negeri Sembilan FC.

Manakala dikhabarkan satu pasukan di Borneo turut berdepan isu kelewatan pembayaran gaji, selain tiga pasukan yang kerap serta masih gagal selesaikan masalah itu adalah Kelantan FC, Melaka United dan Sarawak United.

Tunku Ismail juga menegaskan, kualiti Liga Malaysia semakin meningkat namun isu tunggakan gaji masih mengganggu saingan domestik sekali gus mencalar imej pertandingan tempatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 8:11 PM