Safee Sali. FOTO Bernama
Safee Sali. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali menegaskan isu tunggakan gaji yang masih membarah menunjukkan kelemahan sistem pengurusan kelab di Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.

Katanya, tindakan pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempertahankan kebajikan pemain harus dilihat dari sudut positif dalam membantu pemain yang teraniaya.

"Menjunjung kasih Tunku kerana sentiasa ada di belakang para pemain.

"Bak kata TMJ (Tunku Mahkota Johor), takkan hari-hari nak kena lawan JDT baru gaji boleh 'settle'. Ini menunjukkan betapa lemahnya pengurusan sesetengah kelab.

"Lepas itu, penyokong yang tak tahu menahu hanya salahkan orang yang tegakkan kebenaran," katanya di laman sosial miliknya.

Terdahulu kecoh mengenai tunggakan gaji pemain babitkan beberapa pasukan Liga M termasuk Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sarawak United, Perak FC dan bekas tonggak Kelantan FC.

Kenyataan Safee Sali di Story Instagram miliknya.
Kenyataan Safee Sali di Story Instagram miliknya.

Begitupun, menjelang aksi suku akhir Piala Malaysia antara Kedah dan JDT, tunggakan gaji selama dua bulan babitkan pemain skuad Hijau Kuning akhirnya dijelaskan serta merta oleh pengurusan Kedah.

Jelas bekas pemain kebangsaan itu lagi, tindakan pengurusan Kedah itu dilihat agak mengejutkan di mana, ia sebenarnya boleh diselesaikan lebih awal tanpa menunggu aksi dengan skuad Harimau Selatan itu.

"Para pemain adalah manusia. Kita kerah tenaga, membanting tulang demi keluarga. Rezeki masing-masing, Tuhan dah atur semua itu.

"Yang pegang amanah di atas itu jalankan tanggungjawab baik-baik. Dalam masa seminggu, gaji berbulan-bulan boleh pula 'settle' terus…sungguh memeranjatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 8:05 PM