LUAHAN pemain Sabah FC yang dimuat naik dalam laman sosial.
LUAHAN pemain Sabah FC yang dimuat naik dalam laman sosial.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas Negeri Sembilan FC, Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City), benarkah Sabah FC muncul pasukan terbaharu dipalit isu tunggakan gaji?

Itu persoalan yang timbul selepas tularnya satu perkongsian di laman Tiktok berhubung kegagalan pengurusan Sabah FC menyelesaikan gaji pemain bawah 23 (B-23) kelab itu.

Individu terbabit yang tidak mendedahkan identiti dirinya mengakui dia adalah sebahagian anggota skuad The Rhinos B-23 musim ini yang bertanding di Piala MFL.

Katanya, dia dan rakan sepasukannya masih belum menerima gaji bagi bulan Jun, Julai dan Ogos dengan pihak pengurusan sering berjanji untuk menyelesaikan tunggakan itu.

"Sabah FC, saya sebagai wakil pemain untuk bersuara tentang gaji kami. Bila kah dibayar tiga bulan gaji kami gaji bulan 6, 7 dan 8.

"Kami sudah penat menerima janji manismu pasal gaji. Apabila kami bersuara tidak dilayan, salahkah kami sebagai pemain untuk menanya gaji kami.

"Tolonglah ketengahkan tentang gaji kami. Kami pemain ada juga yang perlu pakai duit," kata pemain itu.

Terdahulu, akhbar ini mendedahkan kemelut tunggakan gaji sudah mula menjalar ke seluruh negara babitkan satu pasukan di Utara tanah air dan dua pasukan di wilayah tengah semenanjung.

Malah dikhabarkan satu pasukan di Borneo turut berdepan isu kelewatan pembayaran gaji.

Senario semasa itu menyaksikan pasukan bermasalah berkenaan mengikut jejak 'jaguh' yang sering berdepan isu tunggakan gaji iaitu Kelantan FC dan dua pasukan yang masih belum menyelesaikan masalah sama babitkan Melaka United dan Sarawak United.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 2:07 PM