BELLINGHAM (tengah) meraikan kejayaannya menjaringkan gol. -FOTO AFP
BELLINGHAM (tengah) meraikan kejayaannya menjaringkan gol. -FOTO AFP
AFP

Barcelona: Jude Bellingham meneruskan permulaan cemerlangnya dalam La Liga apabila tandukan lewat perlawanan membolehkan Real Madrid menang 1-0 di Celta Vigo semalam.

Pemain antarabangsa England itu menjaringkan gol keempatnya dalam tiga perlawanan liga utama Sepanyol untuk memusnahkan kekentalan tuan rumah yang menyambut ulang tahun ke-100 minggu ini.

Rodrygo terlepas sepakan penalti untuk Real Madrid, manakala Vinicius Junior di bawa keluar pada separuh masa pertama selepas kelihatan mengalami kecederaan paha, sekalipun laporan awal Sepanyol menyatakan dia tidak akan berehat terlalu lama.

Kepa Arrizabalaga membuat penampilan pertamanya di gawang Real Madrid secara pinjaman daripada Chelsea sebagai pengganti kepada Thibaut Courtois yang cedera manakala Carlo Ancelotti menurunkan Bellingham di mana dia membuktikan kemampuannya.

Pemain kebangsaan England itu meneruskan prestasi jaringannya menentang Celta, akhirnya menemui kelemahan di benteng mereka ketika bekas pengurus Madrid, Rafael Benitez menerapkan sistem lima pemain pertahanan.

"Bellingham (sangat) bagus, dia masih menjaringkan gol dan membantu pasukan," kata Ancelotti.

"(Vinicius) mahu teruskan, jadi saya rasa ia tidak begitu serius, dia cuba, kemudian ia agak menyakitkan."

Pemain tengah itu memecah kebuntuan pada minit ke-81 apabila dia kekal di dalam kotak penalti dan menanduk masuk dari jarak dekat selepas Joselu menanduk bola ke arah gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 10:56 AM