VAN DIJK mempersoalkan tindakan pengadil perlawanan. -FOTO AFP
VAN DIJK mempersoalkan tindakan pengadil perlawanan. -FOTO AFP
Agensi

London: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk mungkin berdepan hukuman lanjutan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) kerana reaksi yang dilakukannya ketika dibuang padang sewaktu menentang Newcastle.

Van Dijk di buang padang pada minit ke-28 kerana mengancam Alexander Isak yang berjaya menafikan peluangnya menjaringkan gol.

Pemain itu dilayangkan kad merah yang mencetuskan kontroversi, dengan pengurus, Jurgen Klopp bertegas dia tidak patut dilayangkan kad merah.

Klopp dan Van Dijk berang dengan insiden yang berlaku dan Van Dijk menghabiskan masa yang lama di atas padang mempertikaikan keputusan itu sebelum akhirnya menuju ke terowong beberapa minit kemudian.

Menurut Daily Mail, tindakannya - dan keengganan dia untuk meninggalkan padang - boleh menyebabkan dia berada dalam situasi dikenakan hukuman lebih berat oleh FA dan berdepan hukuman tambahan untuk kelakuan konfrontasi.

Van Dijk menuding jarinya ke muka pengadil John Brooks yang berundur dan juga kelihatan menggunakan bahasa kesat kerana dia pada mulanya enggan meninggalkan padang.

Dia turut memarahi pengadil keempat Craig Pawson dan seolah-olah menjerit mengeluarkan kata-kata kesat yang diletakkan dalam kategori 'kelakuan tidak wajar' terhadap pegawai.

Pemain berusia 32 tahun itu pasti akan menjalani penggantungan satu perlawanan yang akan menyaksikan dia terlepas perlawanan di tempat sendiri minggu depan menentang Aston Villa tetapi Liverpool kini berdepan tindakan lanjut yang mungkin dikenakan kepada kapten mereka itu.

Pasukan Merseysiders itu berada dalam keadaan tegang di St James Park ketika perlawanan hanya berbaki tiga minit selepas melepaskan gol pembukaan permainan.

Newcastle mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan dengan Miguel Almiron memaksa Alisson melakukan penyelamatan yang sangat cemerlang.

Kemunculan Darwin Nunez dari bangku simpanan mengejutkan penyokong tuan rumah dengan dua jaringan lewat yang memastikan kemenangan 2-1 ketika Liverpool terpaksa bermain dengan 10 pemain itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 9:41 AM