Penjaga gol Everton, Jordan Pickford (tengah) menghalang Virgil van Dijk (kiri) pada aksi Liga Perdana kelmarin. FOTO Agensi
Penjaga gol Everton, Jordan Pickford (tengah) menghalang Virgil van Dijk (kiri) pada aksi Liga Perdana kelmarin. FOTO Agensi
AFP

London: Usaha Liverpool mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan ancaman apabila kelab berkenaan mengesahkan pertahanan utama, Virgil van Dijk cedera ligamen lutut di sebalik laporan mengatakan pemain Belanda itu boleh terlepas keseluruhan musim.

Van Dijk, yang memerlukan pembedahan, cedera selepas dicabar penjaga gol Everton, Jordan Pickford ketika seri 2-2 dalam saingan tetangga Merseyside kelmarin.

"Pertahanan tengah itu cedera ligamen lutut selepas insiden membabitkan penjaga gol Blues, Jordan Pickford pada minit keenam di Goodison Park," menurut kenyataan Liverpool.

"Van Dijk dikeluarkan dan pemantauan lanjut terhadap kecederaan itu mendedahkan bahawa pembedahan perlu dilakukan.

"Tiada sebarang tempoh masa ditetapkan untuknya kembali pada tahap ini."

Pemain itu sekurang-kurangnya perlu direhatkan sebulan sebelum boleh kembali, menyebabkan Jurgen Klopp berdepan masalah besar untuk mengekalkan Reds di landasan terbaik.

Kapten Belanda itu juga berisiko tidak dapat bermain pada Euro 2020 Jun depan.

"Saya berharap kamu akan cepat sembuh kawan," melalui ciapan Twitter penjaring Terbanyak Liverpool, Mohamed Salah yang ditujukan kepada rakan sepasukannya itu.

Ketika jendela perpindahan pemain pada musim panas baharu sahaja ditutup, Klopp perlu menunggu hingga Januari untuk mendapatkan calon pilihan sesuai bagi memantapkan pertahanan tengah pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 8:44 AM