RICHARLISON (kiri) diberi kepercayaan mengisi kekosongan Kane. FOTO AFP
RICHARLISON (kiri) diberi kepercayaan mengisi kekosongan Kane. FOTO AFP
Reuters

London: Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou menyokong Richarlison untuk mencari jaringan secara kerap musim ini, walaupun pemain antarabangsa Brazil itu bergelut di depan gol setakat ini dalam kempen baharu.

Richarlison, menjaringkan tiga gol dan mencatatkan empat bantuan jaringan dalam 37 penampilan dalam semua pertandingan untuk Spurs sejak menyertai dari Everton pada Julai tahun lalu namun masih belum menemui jaringan musim ini.

Pemain berusia 26 tahun itu ditandatangani dengan harga sekitar £50 juta (RM291 juta) berserta £10 juta (RM58 juta) tambahan dalam, menurut media British.

"Saya pasti Richy mahu menjaringkan gol, tetapi jauh lebih penting bagi saya ialah bagaimana dia menyumbang kepada persediaan pasukan kami, dan saya fikir dia bagus hujung minggu lalu," kata Postecoglou kepada pemberita menjelang perlawanan menentang Bournemouth.

"Dari perspektif saya itu adalah perkara utama, dan saya pasti gol akan datang, tetapi tiada gunanya mendapatkan gol jika pasukan tidak beraksi."

Harry Kane, tonggak utama dan pemegang rekod jaringan terbanyak, dijual kepada gergasi Jerman, Bayern Munich.

Richarlison dijangka akan mengisi kekosongan itu di Spurs berikutan pemergian kapten England itu.

"Saya tidak tahu bahawa terdapat banyak beban yang perlu dipikul. Akhirnya, kelab bola sepak ini perlu berubah," kata Postecoglou.

"Saya rasa semua orang di kelab faham bahawa Harry sudah tiada. Dia menempuh cabaran baharu, dan saya pasti dia akan melakukannya dengan sangat baik di sana. Kami mempunyai cabaran kami sendiri sekarang.

"Saya rasa tidak ada gunanya membandingkan diri anda dengan sesuatu yang sudah tiada dan tidak lagi relevan. Ia akan berbeza jika ia berada di belakang era yang berjaya."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 5:51 PM