GUARDIOLA (kanan) bersalaman dengan Conte ketika perlawanan antara Manchester City dan Tottenham Hotspur di Stadium Etihad, 19 Februari lalu. FOTO Reuters
GUARDIOLA (kanan) bersalaman dengan Conte ketika perlawanan antara Manchester City dan Tottenham Hotspur di Stadium Etihad, 19 Februari lalu. FOTO Reuters
Reuters

London: Tottenham Hotspur menikmati permulaan terbaik kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dan menang perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), 2-0 mengatasi Marseille, awal pagi hari ini.

Namun, anak buah Antonio Conte akan berdepan ujian sebenar di EPL apabila berkunjung ke Manchester City, awal pagi Ahad ini.

Mereka berkunjung ke Stadium Etihad dengan menyedari kemenangan akan memastikan mereka berada di tangga teratas lima selepas tujuh perlawanan, tetapi pasukan Pep Guardiola selaku juara bertahan merasakan ada urusan belum selesai dengan kelab London itu.

Walaupun tahap prestasi tinggi ditonjolkan City sejak beberapa musim lalu, Spurs menang empat daripada lima pertembungan terakhir kedua-dua pasukan pada kempen EPL.

Musim lalu, Tottenham menang berganda iaitu 1-0 di tempat sendiri di bawah bimbingan Nuno Espirito Santo dan kemudian menang 3-2 di tempat lawan pada Februari, apabila Harry Kane menjaringkan gol pada saat akhir.

Spurs menang empat daripada enam perlawanan liga dan wujud bayangan banyak lagi mampu dipamerkan anak buah Conte.

Rekod City hampir sama, tetapi mereka berada di tempat kedua liga mengatasi Tottenham kerana perbezaan jaringan yang besar.

City dan Spurs menikmati kemenangan dalam kempen UCL iaitu mengatasi Sevilla (4-0) dan Marseille (2-0), menyebabkan pertembungan kedua-duanya dilihat seimbang.

Namun, hakikatnya, pada ketika City membuktikan wibawa sebagai pemenang trofi, pemain Tottenham masih tercari-cari rentak untuk meraih kemenangan buat kelab itu.

Guardiola pernah menyifatkan Spurs sebagai 'pasukan Harry Kane', tetapi pada ketika Kane menjaringkan lima gol musim ini, skuad Conte tidak terlalu mengharapkan kepada kapten England itu atau gandingannya, Son Heung-min, yang belum menjaringkan gol.

Richarlison yang ditandatangani dengan nilai 60 juta pounds (RM310.75 juta) dari Everton, menjaringkan dua gol ketika Tottenham mengatasi Marseille dan mungkin diturunkan dalam kesebelasan utama di Stadium Etihad.

City menjual Raheem Sterling dan Gabriel Jesus, tetapi dilihat menang besar dengan prestasi hebat Erling Haaland.

Penyerang Norway berusia 22 tahun itu kini sudah menjaringkan 12 gol dalam lapan perlawanan bersama City, termasuk 10 di EPL dengan dua hatrik.

Sudah pasti, menyekat Haaland adalah tugas utama perlu dilakukan anak buah Conte.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 9:52 PM