PEMAIN Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman dicabar pemain KL City, Giancarlo Gallfuoco. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
PEMAIN Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman dicabar pemain KL City, Giancarlo Gallfuoco. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak pasrah selepas misi mustahil untuk menidakkan Johor Darul Ta'zim (JDT) muncul juara buat musim kedua berturut-turut tidak kesampaian apabila tumpas 0-2 dalam aksi final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Croatia itu tampak berbangga dengan komitmen kesebelasan utama yang diturunkan mampu membuat skuad kendalian Esteban Solari bergelut untuk meraih kemenangan apabila pendekatan taktikal pada perlawanan itu hampir membuahkan hasil.

"Kami beraksi dengan baik sepanjang 70 minit perlawanan dan mengikut perancangan taktikal yang dibuat malah untuk tewaskan JDT kami perlu ada corak permainan yang baik dan aksi babak pertama tampak baik apabila kami memperoleh dua peluang menjaringkan gol.

"Kita ada satu peluang pada babak pertama perlawanan selepas bola rembatan Marko (Zirdum), tapi saya tak tahu bagaimana Syihan (Hazmi Mohamed) dapat selamatkannya. Selain peluang Sara (T Saravanan) hampir mencipta gol.

"Tapi apabila pemain JDT nombor 6 (Shio Hong Wan) menjaringkan gol bagi saya pemain itu belum pernah jaring gol sepanjang kariernya menyentap semangat juang pemain KL City disusuli pula gol pemain nombor 10 (Leandro Velazquez) jelas meruntuh semangat kami," katanya.

Hodak menegaskan untuk tewaskan skuad Harimau Selatan dalam aksi final sudah tentu sukar menandingi kualiti mereka sebaliknya perlu ada permainan yang sempurna dan barisan pemain KL City hampir beraksi sempurna dalam perlawanan itu tapi nasib tidak menyebelahi skuad The City Boys.

Tambahnya, selepas mengikat keputusan seri tanpa jaringan pada babak pertama, barisan pemain JDT tampak menggelabah dan tekanan mula menjejaskan rentak permainan pasukan itu tapi selepas mereka menjaringkan gol mereka mula mendapat keyakinan.

"Apapun saya bangga dengan pencapaian KL City selepas layak ke pentas final selama tiga tahun apabila 13 tahun lalu pasukan ini tidak pernah layak dalam pentas final malah kami sebuah pasukan yang bajet rendah tapi mampu buat kejutan, ia cukup membanggakan," kata Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 10:30 AM