JOSUE (kanan) berkata keputusan rekod perlawanan sebelum ini bukanlah ukuran sebenar kerana pada ketika itu KL City. FOTO RIZAR MOHD NOOR
JOSUE (kanan) berkata keputusan rekod perlawanan sebelum ini bukanlah ukuran sebenar kerana pada ketika itu KL City. FOTO RIZAR MOHD NOOR
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Kapten KL City FC (KL City FC), Paulo Josue tidak menolak kemungkinan mampu mengecewakan Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi pada aksi final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam esok.

Menurut Josue, kejutan itu mampu diulangi selepas pernah tewaskan JDT 2-0 pada aksi final Piala Malaysia dua musim lalu dan berbekalkan persiapan yang begitu rapi menjelang pertembungan itu tidak mustahil ia akan berulang ketika pemain The City Boys berada di tahap terbaik dari aspek fizikal dan mental.

"Menjelang pertemuan ini, ketua jurulatih (Bojan Hodak) memberikan maklumat berguna buat kami selain mengkaji corak permainan JDT, kami sudah bersedia untuk merebut piala ini.

"Kami tahu ia bukanlah semudah kata (menewaskan JDT di SSI), namun kami perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menongkah arus dan berjuang bermati-matian untuk melakarkan kejutan pada perlawanan ini," katanya pada sidang akhbar pra perlawanan Final Piala FA di SSI, di sini hari ini.

Josue berkata, keputusan rekod perlawanan sebelum ini bukanlah ukuran sebenar kerana pada ketika itu KL City tempang tanpa beberapa pemain utama hingga menyebabkan dibelasah 1-6 pada aksi Liga Super.

Namun begitu, perlawanan itu dijadikan rujukan bagi memperbaiki kelemahan pasukan, merungkai cara terbaik menyekat lawan selain mengelak daripada melakukan kesilapan mudah.

"Berdepan pasukan yang dibarisi pemain bintang, kita tidak boleh tumpu pada satu atau dua pemain sahaja, kita perlu bekerja sebagai satu unit bagi mengekang pergerakan mereka serta melakukan serangan balas. Jika kami mampu mengikat mereka pada babak pertama, kami mungkin ada peluang," tambahnya.

Tambahnya, dia juga berharap setiap set piece yang diperoleh pasukan pada perlawanan itu dapat diterjemahkan menjadi jaringan.

"Pada sesi latihan, ketua jurulatih (Hodak) memberi penekanan terhadap perkara ini, harapnya apa yang kita berlatih selama ini dapat dipraktik dan membuahkan hasil pada perlawanan sebenar," ujar Josue.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 4:05 PM