Mohd Sabri (dua kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan CEO KUTT, Ahmad Azhan Suhaili@Ismail di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. -FOTO Malik Muhamad
Mohd Sabri (dua kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan CEO KUTT, Ahmad Azhan Suhaili@Ismail di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. -FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bagi memastikan kantung pasukan tidak berdepan masalah, Terengganu FC (TFC) bakal meminjamkan dua pemainnya kepada pasukan lain dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, pemain berkenaan adalah Muhammad Arif Fadzilah Abu Bakar dan pemain yang digelar 'Messi Ganu', Mohd Faiz Nasir.

Jelas Mohd Sabri, kedua-dua pemain pertahanan dan sayap itu bakal dipinjamkan kepada pasukan Kuching City FC (KCFC) selama satu musim sehingga selesai liga pada April tahun depan.

"Selain Kuching City yang berminat untuk mendapatkan khidmat Faiz, pasukan negeri kelahirannya iaitu Kelantan United FC (KUFC) juga turut berminat untuk mendapatkan bekas pemain sayap skuad kebangsaan itu.

"Manakala setakat ini Arif Fadzilah hampir pasti bakal menyarung jersi skuad Pulau Borneo itu, namun Faiz masih lagi di peringkat rundingan sama bakal berhijrah ke Sarawak ataupun KUFC.

"Namun sehingga kini kedua-dua pemain itu masih lagi pemain TFC, pada masa sama ada lagi pemain yang bakal dipinjamkan bagi memastikan kantung pasukan tidak terjejas dalam mengharungi kancah Liga M," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum dengan Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT) di Gong Badak sebentar tadi yang turut dihadiri Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Marzuki Sulong dan Ketua Pegawai Eksekutif KUTT, Ir Ahmad Azhan Suhaili @Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 4:46 PM