MBAPPE dilaporkan tidak berminat menyambung kontrak bersama PSG. FOTO AFP
MBAPPE dilaporkan tidak berminat menyambung kontrak bersama PSG. FOTO AFP
Agensi

London: Keputusan Real Madrid untuk tidak mendapatkan Harry Kane atau Kylian Mbappe memberi peluang terbaik kepada Manchester United menyambar kedua-dua bintang itu, kata laporan di Sepanyol.

Gergasi Sepanyol itu sudah kehilangan khidmat penyerang berstatus bintang, Karim Benzema, yang baru-baru ini menandatangani kontrak dengan Al Ittihad di Arab Saudi.

Kane yang ketika ini beraksi bersama Tottenham dan bintang Paris Saint Germain (PSG), Mbappe dikaitkan sebagai pengganti kepada Benzema.

Bagaimanapun menurut radio sukan Sepanyol, Cope, Real Madrid sebaliknya sedang berusaha untuk mendapatkan tandatangan pemain lain termasuk Joselu.

Penyerang itu menghabiskan dua musim bersama Stoke dari 2015 sehingga 2017 tetapi dia hanya menjaringkan empat gol dalam 27 perlawanan.

Dia kemudian berhijrah ke Newcastle selepas dipinjamkan ke Deportivo dan dapat menjaringkan tujuh gol daripada 57 penampilan di St James Park.

Prestasi Joselu meningkat semula selepas kembali ke Sepanyol bersama Alaves dan kini Espanyol apabila dia menjaringkan 17 gol dalam 38 penampilan musim lalu seklai gus menarik perhatian Real Madrid.

Penyampai Cope dan Real Madrid TV Melchor Ruiz berkata: "Real Madrid tidak akan mengemukakan sebarang tawaran pada musim panas ini kepada Kylian Mbappe kerana tahu dia hanya mahu melengkapkan baki kontraknya di PSG.

"Mereka juga tidak akan menandatangani Harry Kane. Real hanya berhasrat untuk menandatangani Fran Garcia, Brahim Diaz, Jude Bellingham dan Joselu."

Perpindahan mengejutkan bakal berlaku jika United berjaya diambil alih pelabur dari Qatar dan ketika ini, laporan dari Timur Tengah mendakwa Sheikh Jassim berjaya membeli pasukan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 9:13 AM