SAFAWI dilihat kembali menjalani latihan bersama JDT. FOTO FB Johor Southern Tigers
SAFAWI dilihat kembali menjalani latihan bersama JDT. FOTO FB Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah yakin Safawi Rasid mampu memberi saingan dalam pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas dia beraksi cemerlang bersama Ratchaburi FC sepanjang tempoh empat bulan tempoh pinjaman itu.

Untuk rekod, Safawi sebelum ini dipinjamkan ke Ratchaburi FC pada Januari lalu dan sepanjang penampilannya di Liga Thailand itu, dia berjaya meraih 13 penampilan dan meledak satu gol.

Jelas Azraai, kualiti Liga Thailand yang amat baik sebenarnya mampu meningkatkan keyakinan Safawi.

"Sesuatu yang bagus untuk Safawi jika dia dapat bersaing kembali meletakkan dirinya dalam kesebelasan utama JDT. Kita tahu kualiti yang dimilikinya dan saya yakin dia boleh," katanya.

Sebelum ini, Safawi berkelana ke Thailand kerana mahu mendapatkan minit permainan yang lebih selepas sering dibayangi kelincahan bintang muda negara, Arif Aiman Hanapi.

Menurut Azraai lagi, meskipun pemain kelahiran Dungun itu dikaitkan dengan kelab tempatan seperti Terengganu FC, Sri Pahang FC dan beberapa kelab dari Korea Selatan mahupun Indonesia, beliau percaya JDT sudah mempunyai perancangan buat pemain itu.

"Kalau tidak dipinjamkan sekalipun, JDT mempunyai banyak kejohanan yang akan diharungi musim ini dan mungkin Safawi akan dapat minit permainan yang dimahukannya.

"Apa yang penting adalah Safawi dapat meraih lebih banyak minit permainan sekaligus memastikan dia dapat memberikan banyak pilihan kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menjelang persiapan ke Piala Asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 3:20 PM